Utusan Borneo (Sabah)

Felda Sahabat, sahabat sejati BN: Mizma

-

FELDA Sahabat yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Tungku merupakan `sahabat sejati’ Barisan Nasional (BN), kata calon BN kawasan berkenaan, Mizma Appehddull­ah.

Beliau yakin pengundi di Felda Sahabat akan terus menjadi sahabat sejati BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Menurut Mizma, para peneroka Felda Sabah adalah menyokong kuat BN sejak dari dulu.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan mereka, khasnya setelah saya dipilih sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Silam pada tahun 2013.

“Bahkan sebelum itu, saya sudah cukup rapat dengan mereka kerana setiap program parti (BN) yang dianjurkan di Felda saya hadiri. Saya mengenal para peneroka dengan baik. Mereka merupakan sahabat sejati saya juga,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau akan terus berusaha merapatkan hubungan dan mengadakan lebih banyak program kemasyarak­atan dan kebajaikan bagi feadah bersama.

“Itu hasrat saya. Saya berharap dapat menunaikan hasrat saya. Itu impian saya,” tegasnya.

Felda Sahabat adalah jantung pertumbuha­n ekonomi kawasan Dewan Undangan Negeri Tungku dan penyokong setia kepada BN. Felda Sahabat sebenarnya penyumbang utama pergerakan ekonomi Tungku.

Menurutnya, sekarang derah Kecil Tungku telah menikmati pertumbuha­n ekonomi yang baik dan dapat meningkat taraf hidup dan sosioekono­mi rakyat.

“Felda Sahabat menjadi penyumbang utama. Kewujudan Felda Sahabat turut menggerakk­an kegiatan ekonomi setempat. Kita bersyukur,” ujarnya, sambil menegaskan tiada siapa yang boleh menafikan hakikat itu.

“Saya mensyukuri dan menghormat­i mandat pengundi Felda yang setia kepada BN sebelum ini. Saya harap mereka tetap memberi mandat baharu kepada BN. Ini penting kerana Felda merupakan benteng dan penggerak ekonomi rakyat yang amat penting.

“Saya mahu memperkuku­hkan hubungan baik dengan peneroka Felda kerana mereka merupakan penyumbang kepada kemenangan calon BN sebelum ini. Kali ini juga saya berharap mereka memberi mandat mutlak sekali lagi kepada BN,” katanya.

Kawasan N49 Tungku mempunyai 17,222 pemilih berdaftar dengan lebih 4,000 daripadany­a terdapat di Felda Sahabat.

Berdasarka­n rekod pilihan raya lalu, pengundi Felda Sahabat menjadi penyumbang utama kemenangan calon BN.

Mizma berkata kemenangan BN di kawasan itu penting demi kelangsung­an kemajuan dan pembanguna­n untuk rakyat.

“Ini penting bukan hanya kepada saya sebagai calon BN secara peribadi, tetapi kepada kerajaan BN yang bercita-cita untuk mewujudkan Tungku makmur, Tungku hebat,” katanya.

Untuk mencapai matlamat itu, pengundi di Felda Sabah perlu memberi mandat mutlak kepada BN.

“Felda merupakan agensi Kerajaan Pusat dan mereka yang terpilih sebagai peneroka pada awalnya hingga ke hari ini, adalah penyokong setia kepada Kerajaan. Itu asas pemilihan mereka sebagai peneroka Felda,” kata Mizma.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia