Utusan Borneo (Sabah)

Cikgu Jati

-

APA sudah jadi dengan daerah kita ni?”

“Kenapa kau cakap begitu cikgu,” tiba-tiba sahaja Pak Cik Damporong mencelah dalam perbincang­an yang tak formal berlaku di Kedai Mamak pada pagi itu.

“Apa tidaknya, tadi saya terperangk­ap dalam kesesakan, bayangkan sepatutnya saya dapat kejar dua puluh minit, bila terperangk­ap masa menjadi dua jam,” sambil tangannya tak berhenti mengumes roti canai yang sudah pun menjadi kegemarann­ya berpuluh-puluh tahun itu.

“Mana tidak sesak cikgu, jalan raya itu. Itu, itu sahaja. Bayangkan sejak zaman bujangku jalan raya tak pernah berubah, kini usiaku sudah pun mencecah tujuh puluh dua tahun. Pemimpin bertukar ganti.” Urat leher Pak Cik Damporong kelihatan umpama seutas wayar besi yang tegang. Dia seolah-olah melepaskan geramnya pada pendengar yang berwibawa seperti Cikgu Jati.

“Bukan begitu Pak Cik Damporong, maknanya kenderaan di Kota Belud ini sudah melebihi dari paras yang dijangka. Bayangkan sebuah rumah tidak lari dua buah kenderaan, itu yang hanya bergaji kecil, yang mempunyai pendapatan melebihi empat ribu ringgit ke atas sudah tentu paling sedikit pun kereta di rumahnya tujuh buah. Sebab itulah saya katakan awal-awal tadi bahawa Kota Belud ini sudah maju.”

“Maju taie’ Kuya’ pemimpin bertukar ganti, Kota Belud pun mereka tak boleh ubah, waktu kempen pilihan raya dulu, cakap setinggi langit. Sudah menang,

janji tarang bulan.” Dialog-dialog Pak Cik Damporong banyak yang sinis dan melucukan, Tapi itulah tabiat orang tua itu. Sebagai seorang yang kaki kalang menjadi satu kebiasaan, bila bercakap, pasti sahaja berkias dan berbungabu­nga.

Pak Cik Damporong merupakan salah seorang kaki runsai yang tiada tolok bandingnya. Dia mempunyai kepakaran yang sangat tinggi dalam bidang kalang, pantang baginya membiarkan

kalang itu berlalu tanpa dijawab. Kelebihan Pak Cik Damporong sukar ditandingi, dalam masa beberapa saat sahaja dia boleh mencipta dan menyusun beberapa ayat untuk dilontarka­n kembali kepada si penjual kalang. Pak Cik Damporong mempunyai sejarahnya tersendiri, pernah suatu ketika ada satu majlis pekahwinan anak Embo’ Tagong. Primadona yang didatang khas dari daerah Tuaran memangnya cukup tandil, di kalangan yang terbilang dia memangnya terbaik dari yang baik. Dari segi kalang dia juga seorang pakar yang tiada tandingnya

di daerah kelahirann­ya. Embo’ Tagong memang sudah lama mengidamka­n pertemuan antara dua bintang runsai yang sangat dikenali di daerah masing-masing, kini mereka bertemu dalam satu majlis yang sememangny­a dirancang oleh Embo’ Tagong.

Kini bertemu buku dengan ruas, masing-masing mempunyai kelebihan, Pak Cik Damporong memang bijak menganyam baitbait kalangnya, isi kalang penuh dengan makna yang tersirat, Primadona yang memahami makna yang dilontar oleh

Pak Cik Damporong dengan mudah sahaja dijawab kembali, namun ada beberapa isi kalang yang telah berpadu dalam jiwa masing-masing sehinggala­h membuat kumpulan bansag tanda menyokong pasangan memadu kasih. Rentak Bungan seolaholah tidak boleh dihentikan. Malam panjang hingga terbitnya matahari di perbukitan, Pak Cik Damporong dan Primadona akhirnya menjadi pasangan hakiki sehingga ke jenjang pelamin hasil dari pertemuan dalam majlis runsai.

Cikgu Jati termangu, matanya tak berkedip langsung mendengar sejarah Pak Cik Damporong, Dalam sejuta barangkali hanya satu yang telah terjadi, iaitu Pak Cik Damporong, tapi itulah hakikatnya, segala rahsia alam dan jiwa manusia hanya Tuhan sahaja yang mengetahui­nya. Bila tersurat pertemuan jodoh, ia tidak kenal tempat pertemuan.

“Pak Cik Damporong, saya terpaksa tinggalkan kamu. Saya ada janji dengan Pak Iskandar jam sebelas ini.” Cikgu Jati dengan rasa berat melepaskan dialog itu, kerana janjinya dengan Pak Iskandar sudah dekat, dia kena terpaksa juga meninggalk­an mereka. Jam di tangannya telah pun menunjukka­n pukul sepuluh empat puluh lima minit pagi, maknanya adalah masa lima belas minit lagi untuk menunggu. Cikgu Jati sangat menghormat­i masa, baginya masa bukan boleh dipermain-mainkan. Masa baginya adalah jihad, bilamana ia berlalu sesaat ia tidak bisa kembali lagi. Begitu juga halnya dengan janji, bila dia berjanji dengan seseorang dia pasti menunainya dengan tepat. Sebagai seorang yang telah dijanjikan maka biarlah dia menunggu jangan pula dia ditunggu. Pak Iskandar merupakan sahabat lamanya. Seminggu lepas dia ada menghubung­i Cikgu Jati dan ingin berkunjung ke daerah Kota Belud seterusnya mahu melawat makam

Embo’ Ali di Kampung Pandasan. Jam Rolex Cikgu Jati telah pun menunjukka­n pukul 11.05 minit. Maknanya masa sudah pun melewati garis janji yang telah ditetapkan. Hati kecilnya sesekali bertanya dengan dirinya, kenapa Pak Iskandar belum muncul-muncul lagi, pada hal Pak Iskandar juga merupakan seorang yang sangat menepati janji.

“Ahhh! Mungkin ada masalah, sebab itulah dia lambat.” Cikgu Jati bermonolog sendiri sambil memujuk hatinya. Sifat-sifat sebagai seorang guru besar yang berwibawa ketika dia masih bertugas dulu masih lagi jadi amalannya. Sebagai seorang pentadbir pada sekolahnya dia sangat digeruni oleh guruguruny­a. Telah menjadi satu rutin baginya, dia mesti awal datang ke sekolah dan dia sendiri menunggu murid-muridnya di pintu masuk. Sifat kasih sayangnya pada muridmurid menjadi satu pembakar semangat. Guru-gurunya juga turut bersifat begitu dan tak hairanlah sekolahnya dulu sering sahaja menggondol beberapa anugerah sekolah cemerlang dengan keputusan UPSR terbaik di daerah seterusnya di peringkat negeri amnya.

“Assalamual­aikum, maafkan kami cikgu kerana terlambat, saya pasti tentunya cikgu merasa risau dengan kelambatan ini.” Pak Iskandar dengan lembut melepaskan dialognya, sambil bersalam erat, kedua-dua sahabat itu nampaknya begitu gembira. Kaja dan Mayo yang menemani Pak Iskandar terharu melihat kemesraan dua sahabat itu.

“Cikgu, saya tak menduga langsung Kota Belud yang saya tinggalkan tiga puluh tahun lalu telah banyak perubahan. Kalau dulu jalannya tak pandai jem. Sekarang di kawasan Limatok pun sudah mula jem,” Pak Iskandar bersahaja dan berjenaka dengan perkataann­ya.

“Begitulah lumrah zaman Pak Iskandar, macam saya juga, dulu Pak Iskandar tinggalkan saya masih muda, segak, tampan pula tu. Kini sudah pun menjangkau tua.” Cikgu Jati membalas dialog Pak Iskandar dengan nada-nada kenakalann­ya. Mereka ketawa penuh kemesraan bila terucap dialog-dialog nakal.

“Kenalkan. Ini anak aku, Kaja dan ini Mayo kawan baik Kaja,” Pak Iskandar memperkena­lkan dua remaja yang kini dalam alam percintaan. Mayo telah pun menjadi pilihan hati Kaja setelah sekian lama menguji keperibadi­an Mayo. Bagi Kaja, Mayo telah pun memenuhi syarat dari segi sifat dan kerohanian­nya. Budaya timur masih kuat dalam pegangan Mayo walaupun dia bebas terbang ke seluruh pelosok dunia kerana tugasnya sebagai pegawai eksekutif pelanconga­n syarikat.

“Cikgu, kubur Embo’ Ali di Kampung Pandasan itu masih seperti dulu lagikah?” Pak Iskandar memulakan pertanyaan­nya sambil matanya meninjau-ninjau ke arah sawah padi yang luas terbentang di

ranian Kampung Sangkir. Cikgu Jati sengaja mengambil jalan melalui Kampung KimoKimo, dia mahu sahabatnya itu merasa terharu apabila melihat pemandanga­n dari atas bukit dan langsung nampak ranian padi dan laut membiru hinggalah jauh ke Pulau Mantanani.

“Ooh tidak, Kalau dulu kubur

Embo’ Ali agak terbiar begitu sahaja, kini kubur tersebut telahpun diambil perhatian oleh Yayasan Sabah. Mereka telah buat pagar dan letakkan nama Embo’

Ali sebagai seorang pejuang bangsa Sama. Cuma yang saya kesalkan sedikit ialah banyak pokok belunu’ di pesekitara­nnya telah ditebang. Alangkah bagusnya kalau tidak ditebang dan dipulih ara, sekurang kurangnya nampak lagi bekas bekas peluru British tu di sana ,” Cikgu Jati meluahkan isi hatinya pada Pak Iskandar.

“Siapa yang tebang Cikgu?” Pak Iskandar pula ingin tahu.

“Alah siapa lagi, orang kita juga. Bila mereka diarah tebang oleh pihak tertentu, konon dengan alasan mengganggu pengunjung Semio Lau Lasa.

Yang amat saya kesal lagi, kenapa JKKK dan ketua kampung tidak buat penjelasan terperinci kepada penguasa tempatan betapa pentingnya peninggala­n sesuatu sejarah.”

Kereta Prado Cikgu Jati yang berwarna ungu sutera telahpun masuk ke ranian Kampung Pandasan. Pak Iskandar bersama Cikgu Jati, manakala Kaja dan Mayo mengekori mereka dari belakang. Jalan raya yang sebelah menyebelah­nya sawah padi itu membuatkan Pak Iskandar teringat masa lalunya ketika bersama isteri serta dua orang puteraya menziarahi sahabat lama mereka di Kampung Kota Ayangan Keningau. Masyarakat Dusun Kwajau sangat rajin bersawah, mereka masih lagi mengerjaka­n sawah dengan mengunakan cara tradisiona­l. Radu yang ditarik oleh kerbau sangat popular ketika itu. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga Pak Iskandar kata-kata Aki Gapayong tentang tanah yang dibajak mengunakan kerbau.

“Banyak manfaatnya, kedudukan tanah lebih teratur dan penuh dedikasi, kita seolah-olah bercinta dengan tanah, kasih sayang yang kita luah padanya sangat lembut dan mesra.” Aki Gapayong dengan penuh emosi kasih menerangka­n pada Pak Iskandar soal-soal tanah di satu petang di kediamanny­a ketika itu. Pak Iskandar hanya mengangguk kepala tanda merestui pandangan Aki Gapayong. Kepercayaa­n orang-orang dahulu sangat sukar ditandingi, bagi mereka setiap perkara yang dilakukan mesti penuh sopan dan tatatertib.

“Pak Iskandar, kita sudah sampai. Lihat, itulah makam

Embo’ Ali.” Khayalan masa lalu orang tua itu tiba-tiba terhenti apabila Cikgu Jati melepaskan perkataann­ya. Mayo dan juga Kaja rasa terharu melihat persekitar­an Kampung Pandasan yang mempunyai cerita dan sejarah tersendiri. Mereka berempat duduk di makam

Embo’ Ali lantas berdoa. Pak Iskandar memimpin.

“Ya Allah ya Tuhanku, letakkan roh pejuang ini bersama rakan-rakannya dalam golongan orang-orang yang beriman. Pengorbana­n yang telah mereka lakukan demi mempertaha­n maruah bangsa tiada tolok bandingnya. Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah perjuangan mereka itu sebagai satu sumber inspirasi pada generasi hari ini. Ya Allah, sesungguhn­ya Engkaulah Maha Agong dan Maha Perkasa dan Engkaulah Maha mengetahui segala rahsia di tata alam suria ini. ”

 ??  ??
 ??  ?? Gambar Sekadar Hiasan
Gambar Sekadar Hiasan
 ??  ?? Karya NANDRAYANA­TIROW
Karya NANDRAYANA­TIROW

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia