Utusan Borneo (Sabah)

Felda tawar pekerjaan fleksibel kepada generasi baharu

-

KUANTAN: Berhijrah ke bandar-bandar besar kini bukan hanya satu-satunya pilihan generasi muda untuk mencari peluang pekerjaan, tambahan dengan pelbagai peluang pendapatan fleksibel yang wujud hasil ekosistem di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara.

Hasil kewujudkan 320 penempatan Felda sejak tahun 1958, banyak kawasan luar bandar kini telah berjaya melalui proses transforma­si menjadi pekan-pekan kecil bagi menampung jumlah penduduk di Felda yang ramai.

Selepas hampir 60 tahun, pembinaan jalan persekutua­n dan jalan negeri telah menghubung­kan kawasan Felda dengan bandar-bandar berdekatan, seterusnya menyediaka­n akses kepada pelbagai bentuk punca pendapatan khususnya dalam bidang perniagaan.

Pengerusi Biro Kami Anak Felda (KAF) Malaysia, Mohamad Zamri Basri mengambil contoh, sebanyak 37 tanah rancangan di bawah wilayah Jengka sahaja dengan penduduk seramai 14,956 orang kini mempunyai akses mudah ke kawasan Jerantut, Maran dan juga Kuala Krau.

“Sebenarnya walaupun tanah Felda sudah diberhenti­kan penerokaan pada tahun 1990, anak-anak peneroka ini contohnya di wilayah ini, tidak mempunyai masalah dari segi mencari sumber pendapatan.

“Ia terlalu feksible dan banyak bergantung kepada seseorang individu itu untuk mendapat sebanyak mungkin pendapatan. Ruang dan peluang sentiasa diberikan dan dalam kawasan Felda ini sangat banyak untuk diraih,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Zamri berkata walaupun kebanyakan generasi baharu Felda dikatakan mempunyai masalah untuk memiliki rumah generasi baharu Felda kerana dikatakan tidak memiliki pendapatan tetap, namun tanggapan itu tidak begitu tepat, kerana peluang pendapatan sentiasa wujud.

Zambri berkata Felda memberi sokongan penuh kepada generasi baharu Felda untuk mendapatka­n pembiayaan bagi perniagaan dan melanjutka­n pelajaran selain memberi latihan yang bersesuaia­n bagi mereka menceburka­n diri dalam bidang perniagaan.

Antara bentuk bantuan yang ada termasuk Tabung Modal Insan (Tabung Minda) bertujuan melahirkan warga Felda yang cemerlang dan memiliki personalit­i unggul, Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Luar Negara dan Skim Insentif Anak Peneroka (SIAP) bertujuan meringanka­n beban kewangan keluarga peneroka.

Walaupun tiada program pembiayaan khusus, namun menurutnya Felda akan bertindak sebagai penyokong jika ada generasi yang memohon bantuan daripada pihak lain seperti Jabatan Pertanian, perbankan dan mana-mana jabatan berkaitan.

“Selain itu Felda juga banyak menawarkan kursus dan latihan yang dibiayai Yayasan Felda seperti kursus kulinari, hospitalit­i dan sebagainya yang bertempat di beberapa pusat latihan di wilayah-wilayah Felda.

“Malah ada juga latihan keusahawan seperti eusahawan dengan kerjasama dengan MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia), latihan kemahiran seperti kerjasama dengan CIDB (Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan Malaysia), latihan pekerjaan dengan DMart Trading,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya Felda juga mempunyai Pusat Latihan Industri Felda untuk melatih generasi baharu serta mewujudkan bengkel kemahiran Filem & Multimedia Felda dengan kerjasama Felda, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Ikatan Seni Komuniti Felda (Iskaf). -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia