Utusan Borneo (Sabah)

TUN M ANGKAT SUMPAH SEBAGAI PM KETUJUH

-

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kali kedua pada Khamis malam, susulan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang memakai baju Melayu hitam dan bersamping songket hitam keemasan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara di sini.

Dr Mahathir, pertama kali dilantik menjadi perdana menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Berumur 92 tahun, Dr Mahathir mencipta sejarah lagi menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.

Upacara istiadat pada kirakira 10 malam itu disaksikan Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif.

Isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali duduk di sebelahnya di majlis itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu merupakan pemimpin utama Pakatan Harapan yang hadir.

Seri Paduka kelihatan bersalaman dengan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah sebaik sahaja memasuki ke majlis itu di Singgahsan­a Kecil sebelum mengambil tempat baginda bersemayam.

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan baginda, Dr Mahathir menandatan­gani dokumen tersebut.

Di luar istana, ia bagaikan pesta apabila kalangan rakyat dari pelbagai kaum dan peringkat umur berkumpul sejak petang lagi bagi meraikan pelantikan Dr Mahathir yang dilihat dapat membawa harapan baharu kepada rakyat dan negara.

Rakyat bertepuk tangan sebaik sahaja selesai majlis itu yang disiarkan secara langsung.

Mereka kelihatan begitu gembira menyambut pembentuka­n kerajaan pusat yang baharu dengan mengibarka­n Jalur Gemilang serta bendera parti.

Mereka turut menyanyika­n lagu kebangsaan dan patriotik beramai-ramai serta melaungkan slogan ‘Hidup Tun’, ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Reformasi’.

Keadaan itu juga turut menarik perhatian pelancong asing.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia