Utusan Borneo (Sabah)

Agong akan tentukan siapa bakal perdana menteri: Najib

-

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya bertenang dan memberi kepercayaa­n kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V untuk melantik perdana menteri.

Katanya tidak ada satu pun parti yang mendapat majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada Rabu.

“Mengikut perlembaga­an, lantikan ini adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong berdasarka­n prinsip siapa yang akan dapat kepercayaa­n di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khamis.

Katanya, BN akan menghormat­i apa juga keputusan yang bakal dibuat Yang di-Pertuan Agong.

Najib yang kelihatan sugul turut menyatakan ucapan terima kasih kepada semua pimpinan BN yang bekerja siang dan malam untuk melaksanak­an segala program berkaitan PRU14.

Beliau berkata BN memenangi 79 kerusi Parlimen dan ia merupakan satu mandat serta amanah oleh rakyat yang perlu dijaga parti itu.

Najib berkata PRU14 menyaksika­n pertembung­an yang sengit serta turut disertai fitnah dan hasutan.

Beliau berkata ia termasuk dakwaan BN akan melakukan penipuan untuk menang dalam pilihan raya itu.

“Terdapat juga dakwaan saya dan rakan-rakan mengadakan mesyuarat Majlis Keselamata­n Negara (MKN) malam tadi, disebut 10 malam dalam tweet untuk isytihar darurat. Satu lagi pembohonga­n, tidak ada mesyuarat MKN dan tidak ada panggilan mesyuarat pun sama sekali,” katanya.

Tambahnya, sejak mengambil alih sebagai perdana menteri pada 2009, kerajaan BN telah sedaya upaya meningkatk­an kualiti hidup rakyat dan menentukan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.

“Hampir tiga juta pekerjaan diwujudkan, kadar kemiskinan paling rendah, pembanguna­n infra rakyat bertaraf dunia, ekonomi Malaysia dipacu kepada satu kadar pertumbuha­n yang boleh dibanggaka­n dan mendapat pengiktira­fan dunia hasil inisiatif kerajaan,” katanya.

Katanya, Pakatan Harapan perlu membuktika­n janji-janji mereka sebagaiman­a yang terkandung dalam manifesto yang kini ditunggu rakyat. Najib kemudian meninggalk­an sidang media tanpa mengambil sebarang soalan daripada wartawan tempatan dan antarabang­sa yang hadir.

 ??  ?? PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media khas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis.
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media khas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia