Utusan Borneo (Sabah)

Pas bertambah kukuh di kelantan

-

KOTA BHARU: Walaupun berhadapan cabaran pertanding­an tiga penjuru dalam kebanyakan kerusi dan dikaitkan dengan perpecahan dalaman, Pas yang sudah 28 tahun memerintah negeri ini terus diberi mandat kukuh oleh rakyat bagi mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Rabu.

Berdasarka­n keputusan rasmi Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR), PAS melebarkan jumlah kerusi yang dimenangi iaitu 37 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 33 kerusi termasuk satu kerusi PKR yang menjadi sekutu parti itu dalam Pakatan Rakyat pada PRU13.

Dalam PRU14 itu juga menyaksika­n Barisan Nasional (BN) mendapat lapan kerusi DUN Kelantan manakala parti-parti lain yang turut bertanding seperti PKR, PSM dan calon Bebas gagal mendapat sebarang kerusi.

Dalam PRU tersebut juga, Pas berjaya merampas empat kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRU13 iaitu Selising, Semerak, Pengkalan Kubur dan Dabong.

Calon popular Pakatan Harapan Nik Omar iaitu anak Allahyarha­m bekas Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang bertanding atas tiket PKR-Amanah kecundang dalam pertanding­an tiga penjuru kepada penyandang DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood.

Penyertaan Nik Omar itu yang diuar-uarkan mampu menarik ramai penyokong Pas kepada Amanah ternyata tidak menggugat Pas yang memperjuan­gkan pentadbira­n berteraska­n slogan membangun bersama Islam.

Dalam pada itu, Pesuruhjay­a Pas Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang berjaya mempertaha­nkan DUN Pasir Pekan, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan bagi penggal kedua di hadapan Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra di Istana Kota Lama di sini, pada Khamis.

Menurut Ahmad, 67, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, sokongan pengundi muda serta kesedaran tinggi daripada pengundi luar merupakan antara faktor utama kemenangan besar PAS di Kelantan.

“Saya ucapkan setinggi penghargaa­n kepada rakyat Kelantan yang telah memilih Pas, kami sekali lagi diberi amanah untuk mentadbir dengan dasar membangun bersama Islam, terima kasih kepada anak Kelantan di perantauan yang balik memberi undi kepada Pas serta semua jentera yang telah bekerja keras,” katanya.

Bagi kerusi Parlimen pula, Pas memperoleh­i sembilan daripada 14 kerusi yang dipertandi­ngkan dan BN hanya berjaya mempertaha­nkan lima Parlimen yang dimenangin­ya pada PRU13 lalu iaitu Jeli, Gua Musang, Tanah Merah, Ketereh dan Machang.

Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berjaya mempertaha­nkan Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas bagaimanap­un Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijangka menang di Parlimen Pasir Puteh namun tewas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia