Utusan Borneo (Sabah)

Indera Mahkota kekal jadi kubu PKR di Pahang

-

KUANTAN: Datuk Saifuddin Abdullah berjaya membuktika­n Parlimen Indera Mahkota adalah antara kubu kuat parti PKR di Pahang selain Parlimen Kuantan setelah berjaya mengekalka­n kemenangan parti itu bagi penggal yang ketiga berturut-turut.

Saifuddin, yang menggantik­an Datuk Fauzi Abdul Rahman yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing berjaya memperoleh undi sebanyak 28,578 untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Johan Mat Sah (17,628) dan calon PAS, Nasarudin Hassan Tantawi dengan 17,515 undi.

Ia menyaksika­n peningkata­n majoriti iaitu sebanyak 10,950 undi berbanding sebelum ini dengan 7,523 undi pada PRU13.

Pada PRU13 lalu, Saifuddin dan Nasrudin pernah ‘bertarung’ di Parlimen Temerloh, dan ia dimenangi oleh Nasarudin, sebelum kedua-duanya membawa gelanggang pertarunga­n ke Indera Mahkota.

Sementara itu, dua kerusi DUN di bawah Parlimen berkenaan menyaksika­n penyandang terus mengekalka­n kerusi mereka.

Penyandang kerusi DUN Beserah, Andansura Rabu mengekalka­n penguasaan PAS di situ dengan memperoleh 12,239 undi, mengalahka­n calon PKR, Zulkifli Mohamed (10,934) dan calon BN, Datuk Suhaimi Sulong (8,732), sekali gus merekodkan majoriti 1,305 undi.

Di DUN Semambu, calon PKR, Lee Chean Chung turut turut kekal sebagai penyandang dengan memperoleh undi sebanyak 14,991 undi, manakala pencabarny­a calon PAS Mohd Yusof Hashin (9480) dan calon MCA Quek Tai Seong (7323) untuk meraih majoriti 5,511 undi.

Keputusan rasmi ini diumumkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Datuk Nazri Abu Bakar di Dewan Wisma Belia, di sini, awal Khamis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia