Utusan Borneo (Sabah)

PH Johor sifatkan kemenangan sebagai ‘pengajaran’ masa depan

-

JOHOR BAHRU: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini disifatkan sebagai “pengajaran” yang perlu dipelajari agar tidak mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Naib Presiden PH Johor, Salahuddin Ayub berkata mandat yang diberikan oleh rakyat negeri ini tidak akan disia-siakan oleh PH untuk lima tahun akan datang.

“Sekiranya mandat besar ini tidak ditunaikan dengan sebaik mungkin, pemimpin-pemimpin yang telah dilantik kerajaan nanti, sekiranya mereka berlagak sombong, angkuh atau lupa diri, ingatlah bahawa rakyat akan membalas balik, “kata beliau pada sidang media awal pagi ini.

Beliau, yang juga Timbalan Presiden Amanah, berkata PH juga berjanji akan menggunaka­n semua kudrat untuk berbakti kepada rakyat negeri Johor.

Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pagi ini untuk memohon perkenan baginda untuk melantik calon Menteri Besar Johor, kata Salahuddin.

Ketika ditanya mengenai calon-calon Menteri Besar, Setiausaha PH Johor, Datuk Osman Sapian berkata sebanyak tiga nama akan disenarai pendek dan akan dipersemba­hkan untuk perkenan Sultan Ibrahim.

Menurut Osman, yang juga Setiausaha PPBM Johor, tiga nama itu akan diperbinca­ngkan pagi ini dan bakal diberikan kepada Muhyiddin untuk dipersemba­hkan kepada Sultan Johor.

Johor yang sebelum ini kubu kuat BN tumbang ke tangan PH yang menyaksika­n sebanyak 36 kerusi dimenangi PH, manakala BN memenangi 19 kerusi DUN dan PAS hanya satu kerusi DUN.

PH juga memenangi 18 kerusi Parlimen di Johor manakala lapan dimenangi BN.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia