Utusan Borneo (Sabah)

PHB edar 3.3 juta unit AHB percuma kepada 33,000 pelajar Bumiputera MRSM

-

KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memperuntu­kkan 3.3 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bernilai RM3.3 juta untuk dibahagika­n kepada 33,000 pelajar Bumiputera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara secara percuma.

Peruntukan berkenaan, sebagai platform untuk menyemai minat menabung dan melabur dalam kalangan pelajar, diserahkan pada majlis penyerahan unit AHB kepada wakil pelajar Bumiputera MRSM seluruh Malaysia di MRSM Trolak, Perak baru-baru ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata: “Kita semua sedia maklum bahawa pendidikan kewangan dan pelaburan merupakan dua cabang ilmu yang perlu dikuasai oleh semua golongan, khususnya dalam keadaan ekonomi dan kewangan yang dinamik serta mencabar pada masa kini.

“Generasi muda perlu didedahkan dengan pengetahua­n untuk menabung serta melabur seawal mungkin untuk memastikan keberkesan­an ilmu dalam jangka masa panjang.

“Apabila mereka dewasa, mereka dapat sama mempraktik­kan pengurusan kewangan yang bijak dalam menjalani kehidupan seharian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini.

AHB adalah dana unit amanah berasaskan hartanah yang mengamalka­n prinsippri­nsip Syariah pertama di Malaysia, ditaja oleh PHB dan diuruskan oleh Maybank Asset Management.

AHB diwujudkan bagi memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera supaya dapat turut serta melabur dan mengambil bahagian dalam pemilikan benefisial hartanah komersial utama di Malaysia melalui pegangan unit dalam AHB.

Kamalul Arifin berkata kebijaksan­aan dalam pengurusan kewangan dan menabung perlu dititikber­atkan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menikmati faedah pulangan hasil simpanan tersebut secara berterusan.

“Faedah ini dapat dinikmati melalui peluang pelaburan selamat dan mampu milik yang tersedia seperti AHB,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tindakan yang diambil oleh PHB merupakan satu langkah yang positif dan diharap dapat mendidik pelajar MRSM yang terkenal dengan kecemerlan­gan mereka dengan nilai-nilai murni serta memupuk pembentuka­n sahsiah mereka menjadi celik pelaburan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia