Utusan Borneo (Sabah)

Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan diumum dalam masa terdekat

-

KOTA BHARU: Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kelantan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan dan tarikh yang sesuai daripada Istana Kelantan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad berkata pihaknya telah mempunyai senarai lengkap anggota MMK namun dalam masa yang sama sedang melakukan penelitian lanjut terhadap senarai berkenaan.

“Insya-Allah dalam dua, tiga hari lagi senarai penuh akan dikeluarka­n dan majlis pelantikan akan diadakan sebelum Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Kemenangan Pas di Kampung Surau, Salor di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian.

Khamis lepas, Ahmad, yang juga Pesuruhjay­a Pas Kelantan, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan bagi penggal kedua selepas Pas menerima mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 untuk terus mentadbir negeri.

Bagaimanap­un, hanya Ahmad yang mengangkat sumpah namun anggota MMK dalam kerajaan negeri masih belum mengangkat sumpah setakat ini.

Mengulas hubungan antara Kelantan dengan kerajaan persekutua­n, Ahmad berkata ia akan berjalan seperti biasa seperti yang termaktub dalam perlembaga­an negara dan kedua-dua kerajaan, negeri serta persekutua­n mempunyai tanggungja­wab terhadap kebajikan rakyat.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata Pas berharap janji Pakatan Harapan untuk memberikan royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak akan dikotakan kerajaan persekutua­n yang baharu.

“Kami berharap kerajaan yang memerintah akan memberikan hak itu kepada rakyat Kelantan walaupun negeri ini ditadbir oleh parti yang berlainan,” katanya.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia