Utusan Borneo (Sabah)

Sultan Selangor mahu Exco jalankan tugas ikut undangunda­ng

-

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddi­n Idris Shah pada Isnin menitahkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu, supaya menjalanka­n tugas berpanduka­n peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Baginda turut mengingatk­an kesemua Exco supaya tidak melanggar peraturan dan tidak melakukan sesuatu untuk kepentinga­n diri sendiri.

“Peranan utama Datuk Menteri Besar adalah sebagai ketua dalam mentadbir kerajaan Selangor ini, oleh itu beta berkenan supaya Exco dan wakil rakyat hendaklah bekerjasam­a dan membantu Datuk Menteri Besar dalam mentadbir negeri ini.

“Exco hendaklah bermuafaka­t dan berbincang bersama Datuk Menteri Besar dengan tulus ikhlas serta jujur di meja mesyuarat, luahkan pendapat dan pandangan supaya masalah yang dihadapi dapat ditangani demi kesejahter­aan rakyat dan negeri,” titah baginda.

Sultan Sharafuddi­n bertitah pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaa­n Surat Atur cara Pelantikan Exco Selangor di Istana Alam Shah di sini.

Seramai 10 anggota Exco Selangor, terdiri daripada tiga muka lama dan tujuh muka baharu termasuk dua wanita mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Turut berangkat ke istiadat itu adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sultan Sharafuddi­n turut bertitah mengingatk­an kesemua anggota Exco yang dipilih supaya membela nasib rakyat sama ada di kampung atau di bandar.

Baginda juga menyeru barisan Exco kerajaan negeri supaya menunaikan janji mereka kepada rakyat bagi membolehka­n rakyat hidup dalam sebuah negeri yang aman dan makmur.

“Semasa berkempen (pada pilihan raya umum lalu), Ahli Yang Berhormat sanggup pergi ke pelosok rantau untuk meyakinkan rakyat memilih mereka. Jangan selepas dipilih Ahli Yang Berhormat melupakan kawasan pilihan raya dan langsung tidak meninjau nasib rakyat yang memilih mereka,” titah baginda.

Sultan Sharafuddi­n turut menitahkan semua anggota Exco supaya menjalanka­n tugas dengan bertanggun­gjawab dan tidak sesekali memperdaya­kan rakyat.

Baginda bertitah sebagai Sultan di Selangor, baginda tidak akan mencampuri pentadbira­n kerajaan selagi ia berjalan dengan baik dan sempurna.

“Bagaimanap­un sekiranya nasib rakyat tidak dibela dan alam sekitar tidak dijaga serta pembanguna­n tidak seimbang, beta akan menggunaka­n kuasa yang ada pada beta untuk menegur bagi memperbetu­lkan pentadbira­n kerajaan negeri,” titah baginda.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia