Wenger akhiri karier bersama Arsenal dengan kemenangan 1-0 di Huddersfield
HUDDERSFIELD, England: Arsene Wenger mengakui ia adalah sukar untuk mengawal rasa sebak ketika beliau menamatkan kariernya sebagai pengurus Arsenal selepas 22 tahun dengan kemenangan 1-0 di Huddersfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris Ahad lepas.
Selepas 7,895 hari dan 1,235 perlawanan, ia adalah ‘selamat jalan’ kepada Wenger ketika beliau membimbing Arsenal buat kali terakhir.
Wenger diselubungi banyak nostalgia sejak beliau mengumumkan akan mengundur diri semusim baik sahaja ini berakhir.
Dan pengurus berusia 68 tahun itu tidak dapat menahan sebak sebelum dan selepas perlawanan terakhir beliau bersama Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris. “Sudah tentu saya berasa agak emosional selepas 1,235 perlawanan untuk kelab yang sama,” kata Wenger. “Untuk menikmatinya, kami harus menang. Memenangi perlawanan bola sepak adalah apa yang menjadikan saya gembira dan pemain melakukannya. “Adakah saya berasa lega? Tidak juga, saya berasa sedih. Pada satu peringkat, ia akan berakhir. Saya mengharapkan semua orang yang terbaik, penyokong terus hebat sehingga ke akhirnya dan saya mengharapkan kelab mencapai kejayaan di masa hadapan.” Disambut dengan tajuk bertanya ‘Siapa Arsene?’ apabila dilantik sebagai pengurus pada 1996, Wenger meninggalkan kelab sebagai pengurus terhebat Arsenal.
Beliau memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris termasuk kejuaraan tak terkalah pada musim 2003/2004 apabila pasukannya memenangi liga tanpa kalah dan tujuh Piala FA selain mengubah landskap permainan bola sepak Inggeris dengan penggunaan sains sukan dan mencari pemain dari pasaran yang tidak diterokai sebelum ini seperti di benua Afrika.
Apa yang menariknya, gol kemenangan minit ke-38 dijaringkan oleh penyerang dari Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang – pemain pembelian terakhir dari era Wenger – yang memastikan beliau mengakhiri karier dengan gembira.
“Saya percaya saya mempunyai satu impak ke atas kelab secara keseluruhannya kerana kelab ini berada pada kedudukan yang kukuh, ia juga mempunyai stadium baharu, pusat latihan baharu dan pemain baharu,” kata Wenger.
“Dengan keputusan kami memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana, bermain 49 perlawanan tanpa kalah dan saya sangat bangga dengan tujuh kejuaraan Piala FA.”
Selepas menghabiskan dua musim terakhir dicemuh oleh penyokong kelab yang kecewa dengan kegagalan kelab memenangi kejuaraan liga sejak 2004, penghujung musim untuk Wenger kelihatan diwarnai pujian dan sorakan. - AFP