Utusan Borneo (Sabah)

SC sedia beri taklimat mengenai pasaran modal jika diminta

-

KUALA LUMPUR: Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC) bersedia untuk memberi taklimat mengenai pasaran modal jika diminta, kata Pengerusi, Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

“Jika ada apa-apa, Majlis Penasihat Kerajaan atau sesiapa yang perlu diberi taklimat mengenai pasaran modal, kami bersedia untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di luar Persidanga­n SC-Bank Dunia-Pertubuhan Antarabang­sa Suruhanjay­a Sekuriti (IOSCO) di sini semalam.

Persidanga­n selama dua hari itu, bertemakan, ‘Harnessing Islamic Finance for a Green Future’, menarik lebih 200 pengamal industri, pembuat dasar dan pakar dalam kewangan Islam.

Mereka akan membincang­kan elemen-elemen yang diperlukan untuk meningkatk­an lagi penerapan pasaran kewangan Islam.

Ranjit mengulas mengenai pertemuan antara bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan, dengan wakil-wakil daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Pertemuan itu, yang diadakan semalam dihadiri oleh Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadan­kan), Kumpulan Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Ranjit turut menjelaska­n pasaran modal domestik kekal tidak terjejas dalam masa terdekat, mencermink­an struktur pasaran yang berdaya tahan dan asas pasaran yang kukuh.

“Bagi jangka masa sederhana, kami sentiasa yakin dengan keupayaan pasaran modal untuk terus memudahcar­akan aktiviti pengumpula­n dana dan menyediaka­n peluang pelaburan yang mencukupi, dengan menjangka impak yang positif daripada dasar pentadbira­n baharu,” katanya.

Beliau juga berkata ini sejajar dengan pengumuman mengenai dasar oleh Perdana Menteri yang baru dilantik Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilihat sebagai properniag­aan dan propasaran modal.

“Mengenai masa depan, SC akan menumpukan kepada mengekalka­n kestabilan pasaran, selain meningkatk­an pasaran modal untuk membiayai lebih banyak aktiviti ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Negara bagi Pengetahua­n Global dan Hab Bank Dunia, Richard Record berkata bank itu berharap hubungan yang telah wujud sekian lama dengan Malaysia akan terus meningkat dengan kerajaan baharu.

“Malaysia mempunyai kelebihan dari segi terbitan sukuk dan telah beralih daripada menjadi penerima pembiayaan pembanguna­n (oleh Bank Dunia) kepada penyumbang kepada agenda pembanguna­n dan daripada negara berpendapa­tan rendah untuk mencapai status hampir negara berpendapa­tan tinggi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia