Belia Sabah perlu kembali bersatu

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Semua belia Sabah diseru agar merapatkan kembali ikatan perhubungan sekaligus tidak membiarkan perbezaan fahaman politik mengganggu perpaduan dalam kalangan masyarakat di sini.

Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Azuwan Marjan berkata, walaupun bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih terasa tetapi ia sudah berakhir.

“Belia perlu bersatu untuk memberikan fokus bagi mencapai matlamat membangunkan negeri ini.

“Majlis Belia Malaysia adalah satu badan induk di Malaysia yang perlu diperkasakan lagi oleh kerajaan dalam agar mampu meneruskan agenda pembangunan belia,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berharap kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melihat aspirasi belia seterusnya memperkasakan lagi gerakan anak muda di seluruh negara khususnya di Sabah dalam memastikan agenda membangunkan golongan itu di negeri ini dapat direalisasikan.

“Setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Tun di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-7 melalui kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya mendoakan Malaysia sentiasa aman, makmur dan maju jaya di bawah pimpinan beliau,” katanya.

Pada 15 Mei lalu, Azuwan yang juga Exco Majlis Belia Sabah bersama ahli jawatankuasa telah menghadiri Konvensyen Belia Kebangsaan. Turut hadir ialah Ketua Penerangan MBS Abqaree Fawwaz Abekan.

Konvensyen yang bertemakan ‘Cakna Negara: Demokrasi, Populisme dan Sosialisasi Politik Belia Pasca PRU14’ itu dirasmikan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

AZUWAN (kanan) bersama Abqaree merakamkan gambar kenangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.