Utusan Borneo (Sabah)

Rogol teman wanita bawah umur, kelindan lori dipenjara lima tahun, dua sebatan

-

PETALING JAYA: Seorang kelindan lori dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan merogol teman wanitanya yang berusia 14 tahun sehingga mangsa melahirkan anak lelaki.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhka­n hukuman itu terhadap Muhammad Shahrul Imam Abdul Rahman, 21, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah merogol pelajar tingkatan dua itu dan mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 17 Okt 2016.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Desa Mentari, di sini, pada 5 petang, 3 Mac 2016 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzama­n memohon hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira kekerapan kes rogol membabitka­n kanak-kanak bawah umur.

“Kejadian yang berlaku ini telah memberikan kesan terhadap anak tertuduh kerana dalam Islam status anak tersebut tidak diiktiraf,” katanya.

Bagaimanap­un, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung ibu bapanya selain perlu menjaga bayi yang dilahirkan oleh teman wanitanya.

“Saya mohon diberikan peluang kedua kerana saya ingin bertanggun­gjawab atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia