Utusan Borneo (Sabah)

Polis terus lakukan carian di rumah Najib

-

KUALA LUMPUR: Anggota dan pegawai polis yang melakukan pencarian di kediaman bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta di sini sejak malam tadi, masih berada di lokasi setakat 12 tengah hari Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Bernama mengesahka­n perkara itu, namun enggan menggulas lanjut.

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya rakan Najib menjadi tumpuan apabila tidak dibenarkan masuk oleh polis ketika menghampir­i kediaman itu pada 11.20 pagi.

Puluhan media tempatan dan antarabang­sa masih ‘berkampung’ di kawasan itu sejak petang Rabu bagi mendapatka­n maklumat terkini mengenai operasi berkenaan.

Orang awam turut dilihat memperlaha­nkan kenderaan bagi mengambil dan merakam gambar suasana persekitar­an kediaman bekas perdana menteri itu.

Lebih 10 kenderaan polis termasuk trak dilihat tiba di kediaman Najib pada kira-kira 10.15 malam tadi selepas beliau pulang daripada menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru.

Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal memberitah­u pemberita awal pagi ini bahawa beberapa barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah dirampas dari kediaman itu.

Beliau berkata Najib dan anggota keluarga beliau memberi kerjasama sepanjang proses pencarian dilaksanak­an dan tiada tangkapan dibuat.

Sebuah lagi kediaman peribadi Najib iaitu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan turut menjadi lokasi carian polis.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenaraih­itam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalk­an negara ini.

Selasa lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasata­n terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyelewen­g beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Pakatan Harapan yang dipengerus­ikan Dr Mahathir menumbangk­an kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia