Utusan Borneo (Sabah)

PH harus adil menyiasat pemimpim korup

-

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyambut baik langkah Kerajaan Persekutua­n baharu iaitu Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan siasatan ke atas pemimpin yang korup termasuk di Sarawak.

Presidenny­a Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, namun pada masa yang sama PH juga perlu menyiasat pemimpin mereka sendiri untuk lebih adil.

“Sekiranya benar seseorang yang terlibat dengan rasuah memang akan dicari dan negara ini tidak ditadbir oleh ahli politik yang korup.

“Jika PH mahu berbuat demikian sila teruskan tetapi bukan sahaja kepada pemimpin (Barisan Nasional), mereka perlu melihat pemimpin PH sendiri terlebih dahulu… sebab mereka juga bukan semuanya baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS yang turut dihadiri Setiausaha Agung PRS Datuk Joseph Salang Gandum di ibu pejabat PRS di sini, pada Rabu.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri menegaskan, PH harus bertindak adil untuk melakukan siasatan tanpa mengira daripada parti mana.

Sementara itu Salang berkata, semua pemimpin BN khasnya PRS bersedia untuk disiasat.

“Mereka perlu melakukan perkara yang sepatutnya dan sewajarnya, ini kerana kita ada undang-undang di negara ini. Ia langkah baik oleh PH untuk melaksanak­an undang-undang bagi mengekang rasuah. Kami semua bersedia untuk itu tetapi berharap ia bukan atas pendakwaan terpilih,” tegasnya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia