Peruntukan RM12.4 juta kawal serangan ulat bungkus

Utusan Borneo (Sabah) - - Utusan Sawit - Oleh Noor Asmawati Abdul Samad watie@mpob.gov.my

PELAKSANAAN pengurusan perosak bersepadu (Integrated Pest Management - IPM) oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengawal serangan ulat bungkus di kawasan tanaman sawit yang terjejas akibat perosak berkenaan.

Kerajaan telah meluluskan dana berjumlah RM12.4 juta bagi tujuan kawalan bersepadu ulat bungkus.

Dana yang disalurkan melalui MPOB akan membantu pekebun kecil sawit persendirian mengawal serangan ulat bungkus.

IPM melibatkan semburan menggunakan bakteria Bacillus thuringiensis (Bt)

di udara. Ia tidak berbahaya kepada manusia, serangga bukan sasaran serta alam sekitar.

Semburan udara Bt dilakukan menggunakan kapal terbang dan dron di kawasan tanaman sawit yang mengalami serangan.

IPM juga dilaksanakan melalui penanaman tumbuhan bermanfaat

Turnera sp. dan pemasangan perangkap feromon asli sebagai langkah kawalan biologi untuk mengurangkan populasi ulat bungkus.

Serangan ulat bungkus semakin serius di kawasan tanaman sawit terutama yang dimiliki oleh pekebun kecil persendirian.

Kesan serangan ini boleh menyebabkan kerugian hasil sawit pada kadar 33 hingga 47 peratus yang mampu menjejaskan pendapatan negara dan memberi impak kepada pekebun kecil dan peneroka yang bergantung harap kepada hasil sawit untuk menyara kehidupan seharian.

Serangan ulat bungkus yang serius biasanya mengambil masa sehingga dua tahun untuk dipulihkan sepenuhnya melalui kawalan secara bersepadu. Berikutan impak yang serius, ulat bungkus diwartakan sebagai makhluk perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 pada November 2013.

Berdasarkan data yang direkodkan MPOB, hampir 28,000 hektar kawasan tanaman sawit pekebun kecil terjejas akibat serangan ulat bungkus.

Situasi serangan ulat bungkus perlu ditangani segera dengan strategi amalan pertanian baik dan implementasi pengurusan perosak bersepadu.

Kerjasama semua pihak terlibat diperlukan bagi menangani serangan ulat bungkus yang semakin serius. Strategi dan langkah kawalan yang sedang dijalankan mampu mengurangkan masalah ulat bungkus dan menyumbang kepada kesejahteraan industri sawit negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.