Utusan Borneo (Sabah)

Topi keledar penyelamat nyawa ustaz Redhuan daripada maut ditetak

-

TELUK INTAN: Gerak hati agar beliau tidak membuka topi keledarnya menyelamat­kan nyawa Redhuan Embi, seorang daripada mangsa kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohammad, Selekoh di Bagan Datuk, Khamis.

Guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Rungkup itu berkata ketika kejadian beliau sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah di kampung berkenaan selepas tamat sesi persekolah­an kirakira 2.15 petang.

Redhuan, 35, berkata beliau terserempa­k dengan suspek yang berjalan kaki dari arah bertentang­an sambil membawa parang namun tidak menyangka lelaki tersebut akan bertindak di luar jangkaan dengan melibas senjata itu ke bahagian mukanya.

“Belum sempat saya menyapanya, bila dah dekat, tiba-tiba dia terus meluru dan melibas parang hinggap di bahagian pipi sebelah kanan saya. Mujur saya masih pakai topi keledar, kalau tidak melayang nyawa saya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mentuanya di Kampung Bahagia di sini, Jumaat.

Ridhuan yang menerima 60 jahitan di bahagian pipi akibat kejadian, berkata selepas dilibas beliau merasa pening lalu terjatuh akibat kehilangan darah sebelum diselamatk­an oleh anggota polis yang kebetulan berada berhampira­n tempat kejadian.

“Saya sebenarnya menjadi mangsa keadaan ketika itu. Ingatkan dia baru balik dari berkebun sebab pegang parang, tapi tak sangka jadi begini pula. Apa-apapun nasib baik nyawa saya tidak melayang,” kata bapa kepada empat anak tersebut.

Sementara itu, seorang saudara suspek yang hanya dikenali sebagai Normah, 60, mendakwa melihat suspek yang dipanggil ‘Yayang’ berada dalam keadaan tidak tentu arah tiga hari lalu ketika pergi ke rumah lelaki berkenaan untuk membeli pisang.

“Sebaik mendekati Yayang, saya tengok dia dalam keadaan berpeluh-peluh dan bila saya tanya kenapa, dia jawab dia libang-libu (tidak tentu arah).

“Duit RM10 yang saya hulur untuk membayar pisang pun dia tidak mahu dan kami cepat-cepat masuk ke dalam kereta apabila melihat keadaannya makin teruk,” kata Normah ketika ditemui di rumahnya di kampung sama.

Menurut Normah, suspek seorang yang baik dan suka menolong orang selain rajin bekerja.

“Tak sangka dia sanggup buat begitu.Sehingga sekarang saya masih tidak percaya apa yang berlaku,” katanya.

Dalam kejadian 2 petang Khamis, suspek yang dikenali sebagaiRam­bodalamkal­angan penduduk setempat dipercayai di bawah pengaruh dadah dan bersenjata­kan parang panjang telah ke rumah mangsa serta melibas tiga beradik berusia dua hingga lima tahun yang juga anak rakan sekerjanya.

Kejadian itu meragut nyawa Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2 serta dua abangnya Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Muhammad Faqhqih Zahirul Haq, 5.

Kejadian tersebut turut mengakibat­kan empat lagi parah iaitu ibu dan kakak sulung kanak-kanak terbabit, Zuraidah Md Ali, 35 dan Nur Zurin Faziera, 9 serta seorang kanak-kanak lain dikenali sebagai Aina, 9 dan Redhuan yang kebetulan melalui kawasan itu ketika kejadian. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia