Utusan Borneo (Sabah)

FGV sokong pendirian k’jaan beri kebebasan kepada GLC

-

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada Jumaat menyatakan sokongan terhadap pentadbira­n kerajaan baharu yang memberi kebebasan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa campur tangan politik.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad berkata, jaminan itu dinyatakan sendiri oleh Majlis Penasihat Kerajaan (Majlis Penasihat) dalam satu pertemuan dengan kumpulan itu dan beberapa pihak lain di sini, Jumaat.

“Saya tidak mahu komen mengenai ahli politik yang terlibat (dalam kumpulan) sebelum ini (kerana) yang sudah lepas, biarkanlah berlalu.

“Kita telah diberi jaminan (oleh Majlis Penasihat) bahawa tiada lagi campur tangan pihak politik selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Majlis Penasihat itu berhubung operasi dan pentadbira­n kumpulan itu.

Turut hadir memberi taklimat adalah Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman, bekas Pengarah Urusan Felda Datuk Hanapi Suhada, Pengerusi Felda Investment Corporatio­n Sdn Bhd Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Ditanya mengenai penglibata­n bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Zakaria bagaimanap­un enggan mengulas lebih lanjut.

Mengulas topik perbincang­an dengan Majlis Penasihat itu yang turut melibatkan beberapa orang pakar dalam bidang kelapa sawit, beliau berkata pelbagai isu telah dibincangk­an bersama termasuk pertanian, minyak sawit mentah dan operasi kumpulan itu secara amnya.

Isu lain yang turut disentuh adalah mengenai pembelian saham dalam PT Eagle High Plantantio­ns Indonesia.

“Pihak Majlis bertanyaka­n secara terperinci mengenai sejarah (pelbagai) perkara yang dibincangk­an itu...apa dan kenapa ia berlaku.

“Saya turut memberi penjelasan mengenai pembelian aset, kenapa ia dibeli serta latar belakang pembelian aset tersebut,” katanya.

Zakaria berkata, hasil daripada perbincang­an tersebut, FGV turut menerima beberapa cadangan positif daripada Majlis Penasihat untuk meningkatk­an prestasi kumpulan termasuk dari segi tadbir urus dan hasil pulanganny­a.

“Cadangan-cadangan yang diberikan memang bagus tetapi saya perlu maklumkan kepada pihak Lembaga Pengarah terlebih dahulu (sebelum mengambil sebarang keputusan),” katanya.

Malah, beliau tidak menolak kemungkina­n FGV bakal dipanggil semula oleh Majlis Penasihat tersebut jika wujud keperluan untuk berbuat demikian.

Beliau juga berharap segala urusan yang melibatkan Majlis Penasihat itu dapat di selesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia