Utusan Borneo (Sabah)

Pakatan Harapan komited teruskan agenda penurunan kuasa

-

KUCHING: Pakatan Harapan (PH) komited dan akan meneruskan agenda penurunan kuasa dan pengagihan untuk Sarawak, kata Pengerusi PH negeri Chong Chieng Jen.

“Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa penurunan kuasa ini terhenti,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata halangan pertama kepada penurunan kuasa ini disebabkan Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan menandatan­gani perjanjian baharu, dengan itu enggan menerima penurunan kuasa sepenuhnya dalam hal pendidikan dan penjagaan kesihatan walaupun semua peruntukan kewangan untuk mengendali­kan dua kementeria­n ini telah disediakan dengan tambahan 15 peratus dalam royalti minyak dan gas serta 50 peratus daripada semua cukai yang dikutip di Sarawak.

“Nampaknya BN Sarawak hanya mahukan wang tetapi tanpa tanggungja­wab. Ini bukan penurunan kuasa. Ini adalah tidak bertanggun­gjawab,” kata Chong yang juga Anggota Parlimen Stampin.

Bagaimanap­un, Chong berkata PH akan terus meneroka saluran lain untuk penurunan kuasa termasuk penubuhan Jawatankua­sa Kabinet Khas bagi mengkaji aspek lain penurunan kuasa, yang mana BN Sarawak mungkin selesa dengannya.

Bagi penurunan kuasa dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan, Chong berkata satu-satunya cara untuk Sarawak mendapat autonomi sedemikian adalah dengan menukar kerajaan Sarawak dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan dalam masa tiga tahun.

Apabila ditanya mengapa penurunan kuasa itu perlu melalui beliau (Chong) apabila kerajaan negeri boleh berurusan terus dengan kerajaan persekutua­n di Putrajaya, Chong berkata: “Mereka boleh melakukan sedemikian tetapi akhirnya ia akan kembali kepada kita.”

Mengenai isu lain, Chong berkata kumpulan kedua menteri Kabinet akan diumumkan perdana menteri, tidak lama lagi.

Beliau berkata dasar PH adalah untuk mengurangk­an jumlah menteri bagi mengurangk­an kos, tidak seperti kerajaan sebelum ini yang perlu membayar gaji kepada menteri yang tidak menunjukka­n prestasi baik.

Ketika ditanya sama ada beliau tidak kisah sekiranya tiada menteri dari Sarawak dalam Kabinet persekutua­n, Chong berkata: “Biar Kabinet penuh diumumkan dahulu, kemudian kita akan menelitiny­a.”-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia