Utusan Borneo (Sabah)

Pogba yakin kemampuan Perancis untuk menyerlah di Piala Dunia

-

LONDON: Pemain tengah Perancis Paul Pogba berkata dia dan rakan-rakan dalam pasukan Perancis mesti bersiap-sedia untuk kejohanan akhir Piala Dunia pada Jun dengan pemikiran yang betul kerana ia adalah lebih penting daripada kebolehan teknikal.

Bintang Manchester United berusia 25 tahun itu – yang sudah bermain mewakili negara sebanyak 51 kali dan anggota penting dalam pasukan yang mara ke peringkat akhir Euro 2016 tetapi tewas kepada Portugal dalam masa tambahan – memberitah­u BBC bahawa Perancis mempunyai keupayaan teknikal untuk berjaya di Rusia.

“Saya yakin dengan skuad Perancis, dengan pemain yang kami miliki,” kata Pogba.

“Saya pasti kami dapat melakukan sesuatu di Piala Dunia ini tetapi saya tidak mahu terlalu yakin.

“Kami ada pasukan yang bagus tetapi Piala Dunia ada dalam kepala kami juga, ia bukan sekadar teknik.

“Ia adalah semangat berpasukan, ia lebih mental berbanding teknik. Kami perlu berhati-hati dengan perkara ini.”

Perancis – pemenang Piala Dunia pada 1998 dan finalis pada 2006 – berada dalam Kumpulan C bersama Denmark, Australia dan Peru, dan memulakan kempen mereka di Kazan menentang Australia pada 16 Jun.

Jauh daripada Piala Dunia, dan walaupun ada spekulasi mengenai masa depannya di United, Pogba berazam untuk memenangi Liga Juara-Juara bersama mereka dalam musim keduanya di sana.

Sejak dia pindah dari kelab gergasi Itali Juventus pada 2016 – United membuat bayaran rekod kelab 89 juta pound (RM490 juta) – Pogba telah memenangi pingat-pingat Piala Europa dan Piala Liga.

“Ia pasti seronok untuk memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris. Sangat seronok,” kata Pogba.

“Bagi sebuah pasukan, kita mahu memenangi kejuaraan, kita bermain untuk menang. Kita dapat mempamerka­n permainan bola sepak terbaik dan ia adalah benar, kita mahu seronok bermain bola sepak tetapi jika kita tidak memenangi kejuaraan – ia adalah bagus untuk mata, ia adalah bagus untuk mata – tetapi kita tidak memenangi apa-apa.”

Pogba, yang memenangi tiga kejuaraan Serie A bersama Juventus, adalah seseorang yang mengambil risiko seperti apa yang dicerminka­n oleh apa yang dia paling suka buat di luar bola sepak.

“Saya ingin sekali masuk ke dalam laut dan melihat dunia air,” kata Pogba.

“Berenang bersama ikan jerung, ikan lumba-lumba dan melihat apa yang ada di bawah air.

“Ia sangat menakutkan tetapi saya ingin sekali melakukann­ya. Jika saya tidak kembali, anda tahu kenapa!”

 ??  ?? BARISAN skuad Perancis ke Piala Dunia 2018.
BARISAN skuad Perancis ke Piala Dunia 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia