Leow balas kritikan Wagner
BERLIN: Ketua jurulatih Jerman Joachim Loew kelmarin membidas kritikan Sandro Wagner, yang bersara daripada bola sepak antarabangsa pada pertengahan minggu ini setelah tidak dipilih untuk menyertai skuad besar Piala Dunia.
“Saya menganggapnya sebagai kritikan terhadap pemain lain dan dia menggambarkan beberapa pemain, yang sudah bermain untuk kami selama-lamanya dan merupakan pemain senior, seakan-akan mereka adalah orang yang bodoh betul,” kata Loew di satu acara di Berlin kelmarin.
“Dia menggambarkan bahawa mereka bersama kita (dalam skuad kebangsaan) hanya kerana mereka tidak menyuarakan pendapat mereka.
“Dia kata orang lain tidak membukamulut. Apakahyang harus difikirkan oleh pemain seperti Jerome (Boateng) dan Mats (Hummels)? Ia tidak masuk akal sama sekali.”
Wagner, yang lantang bersuara dan menjaringkan lima gol ketika Jerman layak ke Rusia 2018 dengan rekod 10 kemenangan yang sempurna, meletak jawatan daripada tugasan antarabangsa setelah tidak disenaraikan dalam skuad besar 27 pemain Selasa lepas.
“Bagi saya, ia adalah jelas bahawa saya nampak tidak secocok dengan pasukan kejurulatihan dalam cara saya sentiasa terbuka, jujur dan menangani keadaan secara terus-terang,” kata Wagner
dengan berang, selepas dia membuat lapan penampilan untuk Jerman.
Penyerang tegap itu, yang merupakan pemain sokongan kepada Robert Lewandowski di Bayern, berang apabila Loew memilih untuk menyenaraikan Timo Werner dari RB Leipzig, Mario Gomez dari VfB Stuttgart dan Nils Petersen dari Freiburg sebagai penyerangnya.
Wagner secara tidak langsung menuduh skuad Jerman penuh dengan “kaki bodek”, satu tanggapan yang ditolak oleh Loew.
“Saya dapat faham sedikit bahawa dia kecewa, itu adalah jelas,” kata jurulatih Jerman yang pernah memenangi Piala Dunia itu.
“Tetapi saya dapati reaksinya sedikit keterlaluan.
“Semua orang yang mengenali kami tahu bagaimana kami sentiasa menggalakkan pemain untuk menyuarakan pendapat mereka, bersikap terbuka dan jujur, bersikap kritikal terhadap diri sendiri.