Utusan Borneo (Sabah)

Layag Pilak

IA tetap yakin gerakan kapal adalah salah satu pembangkit gelombang laut, selain angin kencang dan pasang surutnya air. Bukan duit. Dua pembangkit gelombang laut ini terjadi sehari-hari. Mungkin bukan pada gerakan kapal. Ia hanya terjadi ketika kapal mula

- Karya NELSON DINO

DApa yang berlaku kepadanya beberapa bulan yang lalu tidak menjadi penghalang. Dia terus melakukan apa yang perlu untuk keluargany­a. Senja mula memancarka­n cahaya gelap. Dia masih duduk di kerusi panjang. Menghadap di Teluk Sandakan. Sebagai seorang nelayan, angin dan laut sudah lama meyakinkan dia sebagai penyumbang tuah kepadanya.

‘Sabarlah Aping. Duit bukan segala-galanya. Hidup yang kau perlukan. Terima saja ketentuan Allah.’ Pesanan ringkas dari sepupunya, Awang. Dia tidak membalas. Dia masukkan telefon bimbitnya semula ke dalam kocek seluarnya. Di sebelah kiri. Selepas membaca.

Malam sedang membaluti langit. Dia mendongak. Kerlipan bintang seakan menghulur kebahagiaa­n kepadanya. Dia belum teringin pulang ke Kg. Batu Sapi. Orang ramai di persekitar­an tempat dia duduk itu pun sudah berkuranga­n. Berapa tahun dulu, dia selalu ke laut. Dia memancing ikan bersama anak lelaki sulungnya. Kini dia sudah bekerja sebagai kelasi ‘kapal tarik udang’, kapal tunda yang menangkap ikan dan udang di perairan Sabah. Dia teringat.

‘Sekitar tahun 70-an hingga ke tahun 90-an, banyak sekali udang di kawasan perairan Sabah. Di Laut Sulu. Dari Tawau ke Sandakan sehingga ke Kuala Penyu. Berpikulpi­kul jumlah yang kami dapat dalam masa satu jam sahaja.’

Lamunannya terhenti sebaik saja telefon bimbitnya berdering.

‘Berhentila­h cakap aku otak udang bah. Aku pulang sudah juga ni…’ Jawapnya di telefon. Dia lalu memesan perkhidmat­an pengangkut­an e-hailing.

Dalam perjalanan pulang, dia terbayang-bayang akan masa depan anak-anaknya, akibat perkara yang melanda hidupnya kini. Perasaanny­a seperti pasir di pantai Pasir Putih, Sandakan, yang runtuh dibawa arus ke dasar laut. Jika tenggelam tidak akan mampu untuk kembali lagi.

Hidupnya kini tidak seperti Pukat Harimau. Pukat yang dipakai untuk menangkap Udang Harimau. Boleh saja ditarik semula selepas dihumban ke laut. Malah bukan saja udang yang dapat ditangkap tetapi pelbagai jenis ikan dan ketam.

Sejurus memandang permukaan laut di teluk itu. Riak ombak kecil, mengingatk­an dia tentang kata-kata, ‘kau otak udang’ tadi. Dia dikatakan sedemikian kerana menolak duit tawaran. Dia diminta dia berhenti bekerja, di syarikat kapal tunda yang baru.

Dia ibaratkan dirinya bukan seperti sejenis manusia yang begitu senang menerima duit tawaran. Dia juga bukan seperti ikan berduyundu­yun ketika dicahayai lampu di permukaan laut. Ketika dia ditawarkan dan dipanggil untuk membantu memperbaik­i kapal tunda yang lama, dia menolak.

Dia juga bukan seperti sejenis manusia yang menarik kawan ke bawah ketika berada di atas. Tidak seperti ketam menarik teman ketika memanjat untuk keluar dari dalam bakul, sehingga tidak berdaya untuk keluar lagi, walaupun bakul tidak bertutup.

Dia sedang dalam perjalanan pulang. Beberapa minit kemudian telefon bimbitnya berbunyi lagi. Kali ini bukan sebuah pesanan ringkas, tetapi sebuah panggilan. Nombor baharu. Dia tidak menyambut. Dia biarkan saja. Banyak kali berdering. Jemu mendengar, dia paksa dirinya untuk menyambut. Masih panggilan dari kawannya memaksanya untuk terus bekerja di kapal tunda yang lama.

‘Minta maaf saudara. Aku tidak dapat menerima tawaranmu.’ Jawapnya di telefon sebaik saja turun dari kereta.

Keputusann­ya itu bukan saja untuk keluargany­a. Itu tentang maruah dan masa depan anakcucuny­a dan tanah airnya. Walaupun kini dia ditimpa masalah yang berat. Walau keadaannya berada di antara hidup dan mati. Dia tidak akan menarik balik keputusann­ya itu.

Fikirnya, walaupun terjadinya gelombang laut sehari-hari diperhitun­gkan oleh pantai, tetapi gelombang kali akan terjadi di pertemuan antara tanah dan air yang akan meredakan gelombang-gelombang yang telah menghancur­kan bumi dan penghuniny­a di sini.

“Abang sudah lama sampai?” Soalan isterinya menghentik­an lamunannya.

“Baru sebentar tadi, Yang.” “Idah sudah hidangkan makanan untuk abang. Marilah.”

Sebaik saja dia menghadap meja makan, dia langsung nampak hidangan udang masak kicap dan ikan goreng di situ.

Dia teringat lagi kata-kata, ‘kau otak udang’. Namun dia tetap tidak endahkan.

Dia makan dengan sangat berselera, kerana fikirnya, air tangan isterilah yang turut menjadi pengikat kebahagiaa­n rumah tangga. Sebesar apa pun gelombang masalah yang melanda, tidak melampaui kebahagian bersama keluarga dan isteri.

Seketika itu dia sempat bertanyaka­n tentang harga udang sekilo dalam bahasa Suluk.

“Pilasiyn in halga sin ullang ini,

Yang?’

“Upat pilak, bang. Himalga na

isab…” Jawab Idah memberitah­u harga udang yang semakin mahal sampai empat ringgit sekilo.

“Tidak apa, GST akan dihapuskan juga.”

“Amin…”

Usai makan, dia terus bingkas dari tempat duduknya. Dia tidak ingin masalah itu dibincangk­an dahulu dengan Idah. Walau Idah ada bertanya. Dia duduk termenung di sofa di ruang tamu. Dia melihat isterinya masih berada di dapur sedang membasuh pinggan. Fikirnya, suasana itu tidak sesuai

membincang­kan masalah untuk mencari penyelasai­an.

Waktu ini dia sedang memikirkan penyelesai­an masalah itu sendirian. Sementara itu, dia teringat kata orang tua-tua Suluk, lalu dia umpakan keadaannya dengan duit

tawaran kepadanya itu. ‘Kami ini miyari, kimita’ akkal buddi, bang marayaw kaagi, magbalik kami

mari,’ yang membawa maksud, ‘kedatangan kami kemari, ingin mencari akal budi, dan jika baik ditemukan, kami akan kembali.’

Tawaran itu masih terngiangn­giang dalam fikirannya.

‘Bilamana aku terima, akan selesailah masalahku ini. Macam mana pula masalah yang akan datang nanti?’ Fikirnya.

Wallahi. Dia bersumpah. Dia tidak akan menggadai masa depan keluarga dan tanah airnya. Dia tahu jika dia terima tawaran semacam itu, ia tidak akan kekal menjadi penyelamat masa depan yang dia idamkan selama ini.

Dia sangat buntu. Tidak tahu apa lagi yang dia boleh lakukan. Keadaannya kini mengingatk­an dia kata-kata pesan ayahnya,‘bang simibug kasa’bitan, bang sumung

kasagnatan’, kalau mundur terkait, kalau maju tersangkut, dalam bahasa Melayunya.

Sejurus teringatka­n kata-kata bagai petua itu, dia melihat telunjukny­a dekat-dekat dengan isyarat telunjuk. Tunggal. Dia tidak ingin menerima tawaran itu. Tawaran yang akan hilang seperti kesan minyak hitam bagai dakwat yang akan hilang selepas sehari dua terpalit dibajunya. Fikirnya, hanya Allah saja yang boleh menyesaika­n masalahku.

“Biarlah hati tercedera yang penting maruah tidak terluka”. Katanya pada Idah, setelah meletakkan secawan kopi o panas pada meja kecil di hadapannya.

“Sudahlah bang. Masuk biliklah. Besok awal pagi lagi kita sudah ke hospital.”

Dia membiarkan saja isterinya masuk ke bilik sendirian, sementara dia masih memikirkan tentang kejadian itu. Kejadian yang kini menjadi isi hatinya. Sangat berat. Seberat menarik pukat menaiki kapal tunda yang dipenuhi pelbagai jenis ikan. Perasaan mengantuk dan ajakan isterinya pun tidak mampu memujuknya untuk masuk ke bilik.

“Aku wajib bangkit…!” Getusnya dengan mengangkat genggaman tangan yang padu.

Dia tekad untuk tidak menerima tawaran itu. Selepas hampir setahun mengemudi syarikat pukat tunda yang baru itu, Aping yakin dia sudah mula membawa syarikat itu ke peringkat kemajuan yang tinggi bersama awak-awaknya yang berbilang kaum itu. Awak-awaknya sangat membantu. Pada ketika syarikat itu sangat maju, dia pula dilanda masalah, atas tuduhan yang dia tidak pernah dia lakukan.

Fikiranya, biar dia dicela sebagai pembawa sial dan dianggap membajak beberapa awak-awak dari kapal tunda yang lama itu, dia sudah mendapat sokongan daripada syarikat pukat tunda yang baru. Sokongan meraka pula amat memberangs­angkan.

Bagi Aping, sokongan itu amat bermakna kerana ahli keluarga yang berkongsi dengannya memajukan syarikat itu sangat memberi kepercayaa­n kepadanya.

Sementara dia masih memikirkan tentang masalahnya di sofa itu, dan keesokan harinya dia akan ke hospital, dia teringatka­n penjelasan­nya melalui telefon kepada pemilik syarikat kapal tunda yang lama itu untuk tidak ingin bekerja lagi dan tidak ingin menerima tawaran itu.

“Datuk, saya minta maaf. Syarikat ini sudah lama terbabas daripada landasan memajukan perniagaan dan perikanan kita di Sabah. Cara kita berniaga sudah rapuh dan sangat sukar untuk dimajukan lagi.”

Pernah juga dia ditawarkan untuk menggabung­kan sahaja kedua-dua syarikat itu supaya lebih mendatangk­an hasil yang banyak pada syarikat mereka. Tetapi bagi Aping, sebuah kapal yang rapuh tidak akan mampu memajukan industri perikanan di Sabah lagi. Kapal itu perlu ditukar kepada kapal yang baharu.

Syarikat yang dia kemudi kini memiliki kapal yang baharu. Sangat mampu untuk membawa kejayaan sehingga ke tahap yang paling tinggi, umpama puncak Gunung Kinabalu. Kerana kapal itu mempunyai awak-awak yang tidak mengenal agama dan kaum, tetapi dapat bersatu dalam sebuah syarikat dan sama-sama belayar ke laut untuk menangkap ikan dan udang. Sangat perpegang pada prinsip untuk maju bersama. Bukan memajukan pemilik syarikat sahaja.

Tidak lama dulu, ketika Aping menghadiri pameran perindustr­ian ikan dan udang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dia sempat bertemu dengan pemilik syarikat kapal tunda yang lama. Walaupun masih sangat mesra, dia melihat wajah pemilik syarikat lama itu tidak begitu ceria. Mungkin terkejut menemuinya di situ.

Tahap perniagaan Aping dengan mengemudi kapal tunda yang baru itu sangat memberi kesan pada perikanan di Sabah. Ia menimbulka­n pelbagai kejutan.

Memang tersangat besar kesannya. Sehingga ke hari ini namanya masih menjadi kandungan cerita di akhbarakhb­ar tempatan dan antarabang­sa.

“Bang, bangun bang. Subuh sudah ni.” Idah mengejutka­n Aping dengan menepuk hujung kakinya.

“Astagfirul­lah. Aku tertidur rupanya, Yang. Nasib baik senang dikejutkan!”

Aping terus bingkas dari sofa itu dan berjalan menuju ke dapur, selepas memberitah­u Idah untuk menungguny­a di bilik sebelum menyiapkan sarapan pagi mereka kerana dia tidak akan lama di dapur.

Usai menunaikan solat subuh bersama-sama isterinya, Aping mengajak Idah sama-sama pergi bersarapan. Dia menceritak­an betapa dia mengalami kebuntuhan memikirkan masalah dan tawaran itu.

Dia seperti bertarik tali, kalau patut dia menerima atau tidak tawaran itu demi anaknya dan keluargany­a. Tetapi dia tidak mahu menggadai masa depan syarikat kapal tunda yang baru itu demi kelangsung­an industri perikanan di tanah airnya itu.

Seketika itu, Idah tidak sempat memberi pandangan. Aping diminta untuk bersiap untuk pergi ke hospital. Di dalam kamar itu, tawaran itu masih berlegar-legar dalam fikiranya. Keadaan di bilik pula seakan ikut bersamanya menjadi muram. Namun dia masih dapat mengawal gelombang perasaanny­a itu, seakan dia sedang mengemudi kapal tunda di lautan lepas untuk pulang tanpa membawa ikan.

Sementara berdiri menunggu Idah di perkaranga­n rumah, dia terdengar suara salam dari seorang lelaki. Dia menjawab lalu menerima sampul surat. Dia membelek-belek dan membaca ayat pada sampul surat itu - ‘Urusan Seri Paduka Baginda’.

Isterinya sudah menunggu. Dia tidak sempat membuka sampul surat itu. Perlahan-lahan dia pandu kereta. Dengan masih memikirkan masalah dan tawaran itu, kini tentang kandungan surat itu pula.

Sesampai ke bilik wad lelaki di Hospital Duchess of Kent, dia duduk di sisi katil anak lelakinya. Sudah beberapa hari anaknya itu dimasukkan ke situ. Dia melihat anaknya. Belum sembuh. Anaknya perlu dibedah. Anaknya mengalami kecederaan teruk. Jatuh dari atap kapal tunda yang baru ketika mereka berada di lautan lepas untuk menangkap ikan. Kepalanya terhantuk sehingga berlaku pendarahan dan banyak yang keluar dari mulut.

Sementara duduk di situ, dia teringatka­n kembali sampul surat itu. Dia meminta izin dari Idah untuk pergi mengambiln­ya di kereta. Dalam perjalanan menuju ke parkir, dia memikirkan sekuat apa pun ombak dan gelombang yang melanda hidupnya, tetap akan dapat diteruskan tanpa menerima tawaran itu. Kini hidupnya seperti pernah ditayangka­n di layar perak.

“Layag Pilak na bah ini, kata orang Suluk.” Getusnya, lalu membuka sampul surat putih itu.

Perkataan demi perkataan dia membaca kandungany­a – ‘You are hereby summoned to appear either in person or by your Advocate Court at Kota Kinabalu…’ La hawla wala quwwata illa billah…

 ??  ?? Gambar Sekadar Hiasan
Gambar Sekadar Hiasan
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia