GST sifar peratus diharap membantu tangani peningkatan kos sara hidup
KUCHING: Pengumuman kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diturunkan daripada enam peratus kepada sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun nanti diharap membawa sinar baharu dalam menangani peningkatan kos sara hidup masa kini.
Sejak cukai itu diperkenalkan pada 1 April 2015, kos sara hidup meningkat secara mendadak sehingga memberi kesan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Justeru, pengumuman Kementerian Kewangan pada 16 Mei lalu merupakan satu berita yang menggembirakan semua rakyat negara ini.
Malah, Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen berkata, pengenaan GST pada kadar sifar itu sama seperti cukai tersebut dimansuhkan.
“Kita yakin harga barangan juga akan turut turun setelah kadar baharu GST ini dikuatkuasakan pada 1 Jun nanti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di sini pada Sabtu.
Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya ini semalam turut mendapati orang ramai menyambut baik pengumuman kadar baharu GST itu.
Apatah lagi golongan yang sudah mendirikan rumah tangga yang berharap dengan penurunan kadar GST itu nanti harga barangan di bandar raya ini turut akan turun.
“Ia satu berita yang menggembirakan kita semua yang mana selama ini kita amat terbeban oleh peningkatan kos sara hidup disebabkan pelaksanaan GST ini.
“Dengan kadar baharu nanti, kita amat berharap peniaga turut mengambil langkah sama dengan menurunkan harga barangan,” kata Mohd Ridduan Wahab, 30, dari Kampung Panglima Seman.
Beliau yang sudah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata memberitahu, untuk itu penguatkuasaan harus dilakukan oleh agensi bertanggungjawab agar tidak berlaku penipuan dalam kalangan peniaga.
“Apa yang menjadi harapan kita juga adalah semoga pelaksanaan GST pada kadar sifar ini nanti, kerajaan dapat memantau peniaga bagi memastikan harga barangan terutama barangan keperluan diturunkan.
“Malah, Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi, inilah harapan kita supaya masyarakat Islam dapat membuat persiapan mereka dengan suasana yang tidak tertekan oleh kos sara hidup,” tambahnya.
Pada 16 Mei lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, bekalan barangan dan perkhidmatan yang dibuat di Malaysia serta diimport yang dikenakan GST pada kadar enam peratus akan dikenakan pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini.