Utusan Borneo (Sabah)

Aliran rendah ringgit dijangka berterusan

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berada dalam aliran rendah antara 3.96 dan 3.99 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini berikutan permintaan meningkat terhadap mata wang negara maju itu, kata peniaga.

Ketua Dagangan OANDA di Asia Pasifik, Stephen Innes berkata faktor yang akan memacu dolar AS adalah termasuk peningkata­n hasil Perbendaha­raan negara itu serta langkah menaikkan kadar faedah AS lebih awal berbanding jangkaan susulan data ekonominya lebih kukuh.

“Dolar AS akan terus meningkat berbanding semua mata wang negara Asia, sebahagian­nya didorong oleh pelabur yang berhati-hati terhadap perkembang­an rundingan perdaganga­n yang sedang dijalankan antara AS dan China,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, beliau berkata sentimen juga akan dipengaruh­i oleh perbincang­an mengenai pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) dan bagaimana agensi penarafan kredit melihat perkara itu walaupun harga minyak mentah semakin baik.

Pada minggu lepas, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras telah melepasi AS$80 setong buat kali pertama sejak November 2014, memandangk­an pasaran bimbang terhadap usaha pentadbira­n Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan sekatan ke atas eksport minyak mentah Iran.

Sementara itu, Ketua Global bagi Strategi Mata Wang dan Penyelidik­an Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata susulan minat pelabur yang meningkat terhadap mata wang AS pada mingguming­gu akan datang, ringgit mungkin melepas paras 4.0.

“Bagaimanap­un ia perlu menunjukka­n bahawa kelemahan ringgit bukan disebabkan perubahan unjuran ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pelabur juga akan memantau pengumuman data lain di negara ini minggu depan, termasuk data inflasi terkini yang akan dikeluarka­n pada 23 Mei.

“Kadar inflasi yang diumumkan nanti dijangkaka­n pada sekitar 1.3 peratus walaupun wujud risiko inflasi meningkat lebih tinggi bagi tempoh bulan-bulan akan datang susulan kelemahan pasaran pesat membangun dan ringgit sejak April, ekoran kesan perubahan sentimen pelabur ke arah dolar AS,” katanya.

Bagi minggu yang baharu berakhir, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Berasaskan Selasa ke Jumaat, mata wang tempatan susut berbanding dolar AS kepada 3.9700/9740 daripada 3.9480/9530 pada Selasa minggu sebelumnya.

Nota tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9523/9557 daripada 2.9498/9540 pada Selasa minggu sebelumnya namun meningkat berbanding yen kepada 3.5769/5815 daripada 3.6250/6299.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3516/3577 daripada 5.3353/3437 namun kukuh berbanding euro kepada 4.6751/6806 daripada 4.6898/6962 minggu sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Rabu, 9 Mei sempena hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) manakala Khamis dan Jumaat diumumkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena PRU14. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia