Utusan Borneo (Sabah)

Geng gagak hitam lumpuh, anggota ditembak mati

Seorang anggotanya ditembak mati, empat lagi ditahan

-

KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhka­n sindiket geng ‘gagak hitam’ yang aktif melakukan samun mata wang asing selepas seorang anggotanya ditembak mati manakala empat lagi ditahan di sekitar Ampang, di sini awal pagi pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif melakukan samun sejak 2016 dengan nilai kerugian mencecah RM12 juta.

“Sindiket berkenaan menggunaka­n taktik menawarkan nilai tukaran wang tunai yang lebih tinggi daripada harga pasaran sebelum melarikan wang mangsa mereka dan yang terbaru kes melibatkan US$150,000 (RM595,805) milik seorang lelaki dilarikan oleh anggota sindiket itu,” katanya dalam sidang media, pada Ahad.

Mazlan berkata anggota sindiket berkenaan dikesan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat D9 yang sedang melakukan ronda cegah jenayah sebelum ternampak mangsa berusia 29 tahun itu meminta tolong dan memaklumka­n dirinya disamun di Jalan Damai, Cheras di sini.

Katanya pihak polis melancarka­n gerakan memburu lima lelaki yang melarikan diri dengan sebuah Toyota Vios berwarna hitam sehingga kenderaan itu berhenti di Jalan Memanda 2, Ampang di sini.

“Ketika hendak membuat tangkapan, seorang daripada suspek yang melarikan diri bertindak agresif dengan melibas sebilah parang ke arah seorang anggota polis sehingga hampir mencederak­an tangan kiri anggota tersebut,” katanya.

Beliau berkata anggota berkenaan telah melepaskan empat das tembakan dan suspek warga Afrika itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi melarikan diri.

Polis yang menjalanka­n buruan selepas itu berjaya menahan empat lelaki iaitu dua tempatan , seorang warga Arab dan seorang lagi warga Afrika.

Mazlan berkata polis sedang memburu dua lagi lelaki warga Afrika, dipercayai anggota sindiket, bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek berusia lingkungan 28 hingga 50 tahun itu direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpula­n bersenjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh .Bernama

“Ketika hendak membuat tangkapan, seorang daripada suspek yang melarikan diri bertindak agresif dengan melibas sebilah parang ke arah seorang anggota polis sehingga hampir mencederak­an tangan kiri anggota ” tersebut DATUK SERI MAZLAN LAZIM Ketua Polis Kuala Lumpur

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia