Utusan Borneo (Sabah)

MP Kulim/Bandar Baharu rancang tubuh pangkalan data pelajar

-

KULIM: Wakil rakyat bagi Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Saifuddin Nasution Ismail bercadang menubuhkan pangkalan data bagi mengumpulk­an profil lengkap semua pelajar di daerah itu dalam usaha mengenal pasti potensi mereka.

Beliau berkata langkah itu diharap dapat menangani masalah pelajar berpotensi yang gagal melanjutka­n pelajaran ke peringkat tinggi kerana pelbagai masalah termasuk kewangan.

“Antara misi saya adalah memastikan tiada pelajar yang berpotensi tercicir hanya semata-mata kekangan kewangan dan melalui pusat maklumat ini, kita akan tahu siapa di mana dan tahap pelajaran pelajar terbabit dan seterusnya memberi bantuan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Isnin.

Katanya pangkalan data tersebut akan merangkumi semua pelajar termasuk lulusan diploma dan pelajar pusat tahfiz serta lulusan bidang profesiona­l seperti perakaunan dan kejurutera­an.

“Rata-rata pelajar berpotensi ini menamatkan pengajian setakat diploma atau ijazah pertama kerana kos untuk sambung belajar agak tinggi, jadi kita akan bantu untuk mereka ini sambung ke tahap profesiona­l agar kepakaran ini akan mampu membantu negara pada masa akan datang.

“Bagi pelajar maahad tahfiz pula, saya mahu pelajar ini turut berada dalam aliran perdana dan kerana itu, kita akan cari mekanisme yang lebih praktikal untuk memastikan tahap akademik pelajar tahfiz ini juga berada pada tahap terbaik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia