Utusan Borneo (Sabah)

Penjawat awam Melaka distruktur semula: Ketua Menteri

-

MELAKA:Kerajaan Negeri Melaka akan menstruktu­r semula kedudukan penjawat awamnya dalam usaha memastikan keberkesan­an perkhidmat­an kerajaan negeri serta agensi dibawahnya kepada rakyat, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri sedang menilai tahap kompetensi, kemampuan serta keupayaan penjawat awam negeri ini dan pertukaran juga latihan semula akan dibuat terhadap penjawat awam yang terlibat, namun jumlah terlibat masih belum dimuktamad­kan.

“Persoalan penguranga­n penjawat awam itu tidak timbul, ia lebih kepada isu penstruktu­ran semula (iaitu) isu kompetensi, kemampuan dan keupayaan mereka (penjawat awam negeri) diambil kira dalam penstruktu­ran semula tersebut.

“Pertukaran ada terlibat tetapi kita nilai secara jujur apa kita lakukan, mana-mana cemerlang akan dapat ganjaran, manamana yang lemah kita perbaiki mungkin (diberi) latihan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpuna­n Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di sini pada Isnin.

Dilaporkan sebelum ini Melaka mempunyai kira-kira 8,000 penjawat awam yang berkhidmat untuk Kerajaan Negeri Melaka dan agensi dibawahnya.

Adly berkata dalam menstruktu­r semula penjawat awam negeri ini, kebajikan mereka yang terlibat merupakan antara perkara utama yang akan diberi perhatian.

“Antara isu besar (di kalangan rakyat) peluang pekerjaan rakyat, mempunyai pendapatan ini adalah asas kita, jadi kita tak mahu sebagai sebuah kerajaan dalam kita membuat perubahan itu asas-asas ini kita abaikan,” katanya.

Beliau berkata dalam mengurus sebuah kerajaan baharu penjawat awam adalah tulang belakang atau individu penting yang terlibat secara langsung dalam proses peralihan kuasa ini.

“Penjawat awam adalah kelompok penting kerana mereka yang merangka dan melaksana sesuatu polisi mahupun dasar dalam menentukan hala tuju dan masa hadapan sesebuah kerajaan mahupun masyarakat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia