Utusan Borneo (Sabah)

Dr Wan Azizah ketuai upacara angkat sumpah 13 menteri Kabinet

-

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang diPertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara pada Isnin.

Istiadat itu yang berlangsun­g di Singgahsan­a Kecil turut disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Istiadat berkenaan bermula pada 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembanguna­n Keluarga.

Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama di negara ini.

Dr Wan Azizah melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatan­gani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut mengangkat sumpah berkenaan ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan, Anggota Parlimen Titiwangsa Rina Mohd Harun (Menteri Pembanguna­n Luar Bandar), Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi), Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke (Menteri Pengangkut­an).

Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Naib Pengerusi DAP M. Kulasegara­n (Menteri Tenaga Manusia), Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Mereka masing-masing turut menandatan­gani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Raus dan Ali.

Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur Datuk Dr Zulkifli Mohamad AlBakri. Pada 10 Mei lepas, Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksika­n tamatnya pemerintah­an 61 tahun Barisan Nasional.

Dr Mahathir dijangka menamakan anggota Kabinet yang seterusnya secara berperingk­at.

Selepas istiadat itu, Dr Mahathir dan anggota Kabinet dijadual menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama Yang di-Pertuan Agong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia