Utusan Borneo (Sabah)

Pecah amanah: Permohonan pihak pendakwaan panggil semula saksi ditolak

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Isnin menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil semula saksi bagi menyangkal keterangan pihak pembelaan berhubung kes dua bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n (Felda) yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan dana Felda lebih RM47 juta, empat tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail memutuskan demikian selepas meneliti dan menilai hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes terhadap bekas Pengarah Besar Datuk Faizoull Ahmad, 58, dan bekas Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik, Muhammad Sufi Mahbub, 54.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mei ini untuk pihak-pihak memfailkan hujahan di akhir kes pembelaan dan 8 Jun ini untuk keputusan kes tersebut.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sufi didakwa sebagai orang yang diamanahka­n penguasaan ke atas dana Felda telah melakukan pecah amanah dengan melupus dan meluluskan pembayaran RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankua­sa Tender Felda.

Kelulusan itu dibuat menerusi perjanjian Technology Transfer and Supply Agreement dan Design-Build Contract Agreement dengan I2C Hassed Co. Ltd. dan I2C Hassed (M) Sdn Bhd melalui Felda Caviartive Sdn Bhd.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Faizoull pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Sufi untuk melakukan perbuatan tersebut dan pertuduhan terhadapny­a dikemukaka­n mengikut Seksyen 109 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman serupa.

Kesemua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan di Bangunan Wisma Felda, Jalan Perumahan Gurney, di sini antara 13 Jan dan 23 Julai 2014.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal mewakili Muhammad Sufi manakala Faizoull diwakili peguam Azad Bashir.

Pihak pembelaan telah menutup kesnya pada 26 April lalu selepas memanggil empat saksi untuk memberi keterangan, sementara itu ketika peringkat kes pihak pendakwaan sebanyak 49 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia