Utusan Borneo (Sabah)

Anggota polis subahat dalam kes tembak maut terselamat dari tali gantung

-

PUTRAJAYA: Seorang inspektor polis berusia 51 tahun yang digantung tugas terselamat dari tali gantung selepas Mahkamah Persekutua­n pada Selasa mengetepik­an sabitannya dari tuduhan bersubahat dalam kes menembak mati seorang tukang emas di Ipoh, Perak sembilan tahun lalu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif membebas dan melepaskan Mohd Taufik Peter Abdullah selepas membenarka­n rayuannya bagi mengetepik­an hukuman mati dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi yang mendapati dia bersalah melakukan jenayah tersebut.

“Kami sebulat suara bersetuju dengan hujah bahawa pihak pendakwa telah gagal membuktika­n bahawa perayu (Taufik) berada di tempat kejadian jenayah oleh itu tuduhan terhadapny­a tidak dapat dibuktikan,” kata Raus.

Bersidang bersama beliau ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutua­n Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf.

Taufik yang digantung dari tugas di jabatan narkotik polis negeri Perak pada mulanya menghadapi tuduhan membunuh tetapi pada akhir kes pendakwaan, ia dipinda kepada tuduhan di bawah Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Pada 25 Mac, 2016, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhka­n hukuman mati ke atas Taufik selepas mensabitka­nnya dalam tuduhan membenarka­n pistolnya digunakan oleh S. Nagendran bila mereka merompak kedai Max Goldsmith & Jewellery di Jalan Sultan Iskandar, Ipoh, Perak, antara 3.30 petang hingga 5.10 petang pada 16 Sept, 2009.

Tuan punya kedai, Chen Fun Kee, ditembk mati oleh Nagendran menggunaka­n pistol milik Taufik. Nagendran mati pada Mac 2013.

Taufik gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang ditolak pada 19 Mei tahun lepas.

Dalam prosiding mahkamah pada Selasa, peguam Taufik, Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah bahawa anak guamnya tidak berada di tempat jenayah berlaku kerana pada masa itu dia menziarahi bapa saudaranya yang sakit di Teluk Intan, Perak.

Beliau berkata pihak pendakwaan gagal mengemukak­an unsur dalam Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Timbalan pendakwa raya Mohd Taufik Mohd Yusoff berkata berdasarka­n kenyataan yang direkodkan, perayu tidak berada di tempat kejadian, tetapi katanya wujud bukti ikut keadaan.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia