Najib beri keterangan sekali lagi kepada SPRM Khamis ini
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi keterangan sekali lagi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd pada Khamis ini.
Najib,yang juga Anggota Parlimen Pekan, mengesahkan perkara itu selepas hadir memberi keterangan lebih lima jam di ibu pejabat SPRM di sini, pada Selasa.
Beliau berkata proses merekod keterangan pada Selasa mengambil masa antara 10 pagi hingga 2.15 petang.
Proses yang dijalankan pada Selasa adalah lanjutan daripada keterangan yang dibuat berhubung kes itu kepada SPRM pada 2015.
“Saya telah memberi kenyataan kepada SPRM pada 2015 atas isu SRC dan kenyataan hari ini adalah lanjutan daripada proses itu. Cuma, ia lebih terperinci dengan pengesahan dokumen dan juga beberapa butiran yang lebih menyeluruh lagi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.
“(Pihak SPRM memberi) setengah jam rehat, saya ucapkan terima kasih kepada pasukan yang ambil keterangan kerana telah melakukannya dengan profesional,” katanya.
Bekas perdana menteri itu, yang memakai kemeja dan kot biru, meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 3.15 petang dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna putih.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan yang Najib tidak akan ditahan pada Selasa manakala pihaknya akan memanggil satu atau dua lagi saksi penting berhubung kes itu.
Pengamal media tempatan dan antarabangsa telah menunggu seawal 8 pagi tadi bagi membuat liputan kes itu yang melibatkan bekas perdana menteri tersebut. - Bernama