Utusan Borneo (Sabah)

Hanya tiga menteri berani bersuara terhadap Najib: KP SPRM

-

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjay­a Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mendakwa beliau dan bekas ketuanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah berjumpa dengan beberapa menteri kabinet sebelum ini bagi menyakinka­n mereka untuk mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah itu susulan hasil siasatan SPRM pada 2015 berhubung isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahka­n daripada SRC Internatio­nal Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi Najib, yang ketika itu merupakan perdana menteri.

Bagaimanap­un, katanya, hanya tiga menteri ketika itu yang berani bersuara mengenainy­a iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

“Walaupun ugutan-ugutan diterima, kami berdua (Mohd Shukri dan Abu Kassim) tidak pernah berputus asa. Saya jumpa beberapa menteri dan Tan Sri Abu Kassim berjumpa dengan beberapa orang menteri untuk yakinkan mereka bahawa kes RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC Internatio­nal adalah kes yang benar, bukannya kes rekaan.

“Kami cakap kepada menterimen­teri tersebut, tolonglah buang orang ini, buang pelaku rasuah ini, gantilah dengan orang lain kalau sayangkan negara.

“Buang Najib dan gantilah dengan orang lain, gantikanla­h dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein, orang yang ada integriti mulia untuk menjadi perdana menteri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen pada Selasa.

Mohd Shukri berkata bagaimanap­un, usaha beliau dan Abu Kassim gagal apabila hanya tiga menteri tersebut sahaja yang berani mengambil tindakan manakala menteri lain tidak berani melakukann­ya.

Beliau berkata apabila kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Najib tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini, ramai menteri-menteri yang ditemuinya pada 2015 telah menghubung­inya dan menyatakan kekesalan mereka kerana tidak mengambil tindakan terhadap Najib.

“Saya cakap dengan menterimen­teri itu saya tidak ada kepentinga­n. Bukan saya minta duit, bukan saya minta jawatan. Saya cakap benda yang benar supaya kita perbetulka­n keadaan sebelum terlambat.

“Ini adalah tentang 1MDB, RM2.6 bilion bukan cerita rekaan, ini cerita benar dan kes ini adalah terlalu besar untuk dilindungi,” katanya.

Mohd Shukri juga memberitah­u sidang berita itu bahawa selepas usaha meyakinkan menterimen­teri pada waktu itu tidak mencapai seperti yang dihasratka­n, beliau dan Abu Kassim kemudian mengadakan pertemuan dengan Majlis Rajaraja untuk meyakinkan majlis itu mengambil tindakan terhadap Najib. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia