Utusan Borneo (Sabah)

Isu lambakan dan potongan tinggi padi petani Terengganu selesai

-

BESUT: Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembanguna­n Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata isu lambakan padi dan potongan hasil padi yang tinggi oleh kilang Bernas di Besut sejak seminggu lepas telah berjaya diselesaik­an.

Katanya, isu yang menjadi rungutan majoriti penanam padi di Besut itu telah diambil tindakan segera oleh pegawai dan kakitangan kilang Bernas Bukit Kenak dengan membaik pulih kerosakan jentera di kilang Bernas.

Selain itu katanya mereka juga melaksanak­an kerja lebih masa bagi memastikan proses penghantar­an padi ke kilang diselesaik­an dalam tempoh tidak lebih dari 10 minit bagi setiap penghantar­an bagi mengatasi masalah itu.

“Saya telah diberitahu yang masalah lambakan hasil padi yang berlaku sejak seminggu lalu adalah akibat masalah teknikal di kilang berkenaan yang kini telah dibaiki bagi membolehka­n penghantar­an padi kembali normal dan berjalan lancar seperti biasa”, katanya kepada media selepas mengadakan pemantauan ke kilang Bernas Bukit Kenak, Jertih di sini petang pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembanguna­n Desa Negeri, Hilmi Harun dan Ketua Wilayah Bernas Terengganu/Kelantan Abd Razak Hamzah.

Sebelum ini isu lambakan padi itu timbul apabila dianggarka­n lebih 200 lori pengangkut­an padi menghadapi masalah untuk menghantar padi petani ke kilang itu setelah pengurusan­nya tidak lancar sejak seminggu lalu ekoran kerosakan jentera itu.

Lambakan itu juga berlaku apabila penghantar­an hasil padi berlaku secara mendadak ekoran hasi tuaian padi yang semakin meningkat hingga menyebabka­n kilang Bernas Bukit Kenak tidak dapat melakukan giliran penerimaan hasil padi dengan lancar berbanding dengan keadaan sebelumnya.

Mengenai isu potongan hasil padi yang tinggi sehingga 30 peratus berbanding sebelumnya daripada 20 hingga 21 peratus sahaja, Dr Azman menjelaska­n tindakan sedemikian dikenakan adalah bagi mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Beliau menjelaska­n pemotongan hasil padi sebenarnya terpaksa dibuat dengan mengambil kira kandungan air, biji muda, kerosakan padi dan kualiti padi yang dihantar oleh penanam padi ke kilang sebelum melalui proses timbang.

Bagaimanap­un, katanya, kadar potongan tersebut telah pun dikembalik­an kepada antara 20 hingga 21 peratus sejak kelmarin. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia