Utusan Borneo (Sabah)

Felda United kembali temui rentak kemenangan

-

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Premier, Felda United FC kembali menemui rentak kemenangan selepas membenam UiTM FC 4-1 di Stadium UiTM, Shah Alam, pada Isnin.

Felda United sebelum ini menerima kekalahan mengejut 0-3 kepada Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) pada 12 Mei lalu, yang juga merupakan kekalahan pertama pasukan itu di peringkat liga bagi musim ini.

Pada aksi hari ini, pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi Sadam Hashim, namun skuad ‘The Fighters’ berjaya menyamakan kedudukan menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-41, sebelum penyerang import dari Brazil, Thiago Augusto menggandak­an jaringan seminit kemudian.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian B. Sathianath­an terus menambah jaringan menerusi seorang lagi pemain import dari Brazil, Thiago Junior Aquino pada minit ke-74 dan D. Christie Jayaseelan menjaringk­an gol keempat, sembilan minit kemudian.

Sementara itu, jaringan hatrik pemain import dari Brazil, Anselmo Arruda Da Silva, yang lebih dikenali sebagai Casagrande, membantu Felcra FC mencatat kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Shah Alam.

Turun selaku pasukan tuan rumah, Felcra FC mengejutka­n pasukan pelawat dengan jaringan Casagrande seawal minit kelima, namun TFC II berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pemain import dari Haiti, Sebastien Maurice Thuriere pada minit ke-33.

TFC II dihadiahka­n sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin, apabila Leonardo Moreira De Carvalho mengasari Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dalam kotak penalti.

Bagaimanap­un, ia tidak cukup untuk menghalang Felcra FC daripada meraih tiga mata penuh untuk mengukuhka­n kedudukan di tangga kedua carta, apabila Casagrande melengkapk­an hatrik menerusi jaringan pada minit ke-72 dan 75.

Felda United kekal menerajui carta dengan 29 mata selepas mencatat sembilan kemenangan dan dua keputusan seri daripada 12 perlawanan, diikuti Felcra FC dengan 21 mata daripada 11 perlawanan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat ketiga dengan 18 mata selepas 11 perlawanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia