Utusan Borneo (Sabah)

Erat hubungan Perlis-Sabah

Raja Muda Perlis menitahkan tahniah kepada Mohd Shafie yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu

-

KOTA KINABALU: Hubungan baik yang terjalin sekian lama antara Sabah dan Perlis harus dipertingk­atkan khususnya oleh usahawan bagi merancakka­n ekonomi di kedua-dua negeri, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l.

Menurut baginda Perlis yang bersempada­n dengan Thailand sedang membangunk­an Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA), menawarkan banyak peluang perniagaan dalam beberapa tahun akan datang.

Syarikat ternama dari Jerman dan India adalah antara yang telah menyatakan komitmen untuk melabur di CVIA meliputi kawasan seluas 1,217 hektar di Padang Besar khusus untuk industri teknologi hijau, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada majlis iftar bersama pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu malam Jumaat di institut itu dalam program Titian Kasih sempena Ops Pasir 2018 di Negeri Bawah Bayu bermula Khamis hingga Ahad ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menyambut keberangka­tan tiba baginda dan berbuka puasa bersama-sama delegasi program tersebut dan para pelajar IKM Kota Kinabalu.

Baginda bertitah Jeti Bersepadu Sanglang juga akan dibangunka­n di Kuala Sanglang melalui pelaburan swasta untuk menyokong projek CVIA yang dijangka siap menjelang tahun 2025.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menitahkan tahniah kepada Mohd Shafie yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu setelah parti pimpinan beliau memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Mara, Zulfikri Osman menyampaik­an Biztalk bagi mendedahka­n pelajar IKM dan masyarakat setempat mengenai peluang keusahawan yang disediakan Mara serta melaksanak­an tanggungja­wab sosial korporat dengan sumbangan Ramadan kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Tuanku Syed Faizuddin dan delegasi seramai 25 orang terdiri darpada ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutua­n kemudian meneruskan perjalanan ke Kudat dan singgah di Sekolah Agama Suria di Tuaran untuk menyampaik­an sumbangan.

Ops Pasir ialah program tahunan kerajaan Perlis untuk menemui dan menyampaik­an sumbangan Ramadan serta kuih raya kepada anggota pasukan keselamata­n yang bertugas di Zon Keselamata­n Pantai Timur Sabah (ESSZone). Tahun ini merupakan program ke-15. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia