Utusan Borneo (Sabah)

Kaji kegagalan pasangan beregu negara: Soon Kit

-

BANGKOK:Barisan kejurulati­han beregu negara akan melakukan kajian mendalam bagi mengenal pasti punca di sebalik kegagalan pasangan beregu mencipta kemenangan dalam set penentuan pada saingan Piala Thomas kali ini.

Ketua jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit berkata kajian itu perlu berikutan kegagalan beregu negara mencatat kemenangan dalam set penentuan ketika menentang pasangan Denmark di peringkat kumpulan dan suku akhir semasa berdepan Indonesia.

“Kita perlu mengatasi isu ini berdasarka­n apa yang berlaku terhadap pemain, apa yang mereka fikirkan semasa keadaan itu (set penentuan). Kenapa mereka tidak dapat mengekalka­n momentum pada set penentuan,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Beliau yang merupakan bekas pemain beregu negara berkata demikian susulan kekalahan pasukan Piala Thomas negara 1-3 di tangan Indonesia dalam saingan suku akhir, Khamis.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasangan negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Aaron Chia-Teo Ee Yi tewas kepada pasangan Indonesia dalam aksi yang berlanjuta­n sehingga tiga set.

V Shem-Wee Kiong kalah kepada pasangan Marcus Gideon-Kevin Sukomuljo 19-21, 22-20 dan 13-21, manakala Aaron-Chia tunduk kepada Alfian FajarMuham­mad Rian Ardianto 18-21, 21-10 dan 9-21.

Kegagalan beregu negara mencipta kemenangan dalam set penentuan turut berlaku semasa perlawanan penting peringkat kumpulan menentang Denmark beberapa hari lepas, sehingga membawa kepada kekalahan mereka.

Kedua-dua pasangan beregu negara tewas selepas beregu Denmark mengheret perlawanan sehingga tiga set. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia