Utusan Borneo (Sabah)

MyPPP kekal parti bebas, tidak sertai PH

-

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) kekal dengan pendirian sebagai parti bebas dan tidak merancang untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam sidang media khas di Wisma myPPP pada Jumaat, Presidenny­a, Tan Sri M Kayveas berkata parti itu tidak berhasrat untuk menyertai PH selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN).

“MyPPP tidak merancang untuk menyertai PH. Buat masa ini, kita fokus untuk memulihkan kepimpinan dalaman parti.

“Sejujurnya, saya kecewa dengan layanan yang diberikan oleh BN sepanjang bersama gabungan itu.” katanya.

Terdahulu, Kayveas mempengeru­sikan mesyuarat pertama parti bersama 22 anggota Majlis Tertinggi (MT) yang baharu bagi lantikan sesi 2018/2023 di Wisma MyPPP di Jalan Rotan, di sini.

Mengulas lantikan baharu MT, beliau menegaskan pelantikan itu dibuat atas kuasa presiden mengikut perlembaga­an parti.

Lantikan baharu berkenaan turut menyaksika­n seramai lima naib presiden dilantik iaitu Datuk Seri Gandi Muthusamy (naib presiden kanan), Datuk Zakaria Abdul Rahman, A.Chandrakum­anan, Datuk Soma Sundram dan Datuk Gilbert Goh Kian Puay.

Sebelum ini, MyPPP dilanda konflik dalaman selepas parti itu memecat Kayveas daripada jawatan presiden dan surat pemecatann­ya turut dikeluarka­n oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertarikh 24 April lepas.

Namun, pemecatan beliau dianggap tidak sah selepas menerima surat rasmi Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan (ROS) mengesahka­n bahawa beliau (Kayveas) masih presiden MyPPP yang sah. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia