Utusan Borneo (Sabah)

Cuci kereta untuk Tabung Harapan Malaysia

-

KUALA LUMPUR: Komited untuk membantu negara, sekumpulan remaja dan kanak-kanak mengambil inisiatif mencuci kenderaan bagi mengumpul dana untuk Tabung Harapan Malaysia (THM).

Tejas Shree Udahyah Kumar, 11, bersamasam­a 20 lagi rakannya yang berumur antara enam hingga 17 tahun mencuci kereta di kawasan perumahan mereka di Taman Yarl, Jalan Klang Lama di sini.

“Saya sangat teruja dan bangun seawal 7 pagi untuk cuci kereta… saya dan rakan-rakan nak bantu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan negara,” katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Seorang penduduk, Padma Nadarajah, 60, berkata beliau tidak menyangka cetusan ideanya itu mendapat reaksi positif penduduk setempat.

“Selepas kerajaan tubuhkan tabung berkenaan, saya terpanggil dan berfikir apa yang boleh dilakukan untuk bantu negara. Saya kongsikan idea ini dengan jiran-jiran dan mereka amat menyokong idea itu dan hingga ada yang sudi menaja kelengkapa­n mencuci,” katanya.

Padma berkata kesemua hasil daripada aktiviti amal itu akan disalurkan kepada tabung berkenaan.

Sementara itu, Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang turut hadir di kawasan itu berkata beliau terharu dengan semangat dan usaha rakyat untuk membantu negara.

“Usaha ini dibuat secara sukarela dan membuktika­n semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat semakin menebal,” katanya.

Sejak dilancarka­n Rabu lepas, THM berjaya mengumpul sebanyak RM18.6 juta setakat 3 petang Jumaat.

THM dilancarka­n perdana menteri selepas ramai pihak menyuaraka­n hasrat untuk membantu kerajaan mengurangk­an hutang negara yang berjumlah RM1 trilion. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia