Utusan Borneo (Sabah)

Laungan ‘Hidup Tun’ sambut Dr Mahathir di Alor Setar

-

ALOR SETAR: Kepulangan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Alor Setar buat julung kalinya selepas dilantik sebagai perdana menteri buat kali kedua pada 10 Mei lepas, disambut meriah oleh rakyat Kedah pelbagai kaum di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini, tengah hari Sabtu.

Sejurus pintu pesawat khas yang membawa pemimpin nombor satu negara itu dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dibuka, laungan ‘Hidup Tun’ oleh lebih 500 penyokong beliau bergema di sekitar lapangan terbang itu, mengiringi ketibaan Dr Mahathir yang segak berbaju merah.

Dr Mahathir kemudianny­a bersalaman dengan rakyat yang setia menunggu sejak 9 pagi lagi, dengan ada daripada mereka membawa sepanduk tertera perkataan ‘Selamat Datang Perdana Menteri ke Kedah’ dan ‘Tahniah Tun PM Malaysia ke-7’.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang turut menyambut ketibaan beliau ialah Pengerusi DAP negeri Tan Kok Yew dan Pengerusi Amanah negeri Datuk Dr Ismail Salleh.

Dr Mahathir yang berada di Langkawi semalam dijadual menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddi­n Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 2.30 petang ini di Istana Anak Bukit.

Mercy Samuel, 60, pembantu klinik di Klinik Maha, iaitu klinik yang diasaskan Dr Mahathir, berkata beliau amat teruja menyambut kedatangan Dr Mahathir yang mencipta sejarah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

“Kami rakyat Kedah sudah tentunya sangat berbangga dengan beliau dan yakin beliau mampu membawa perubahan dalam pelbagai bidang, Malaysia bakal mengalami kelahiran semula,” katanya.

Helen Loo Chean Yin, 50, berkata sebaik mendapat tahu daripada rakannya tentang kepulangan Dr Mahathir ke Kedah, beliau bergegas ke lapangan terbang untuk tidak melepaskan peluang bertemu sendiri dengan pemimpin berusia 92 tahun itu.

“Saya ingin mengucapka­n terima kasih kepada beliau kerana menjadi perdana menteri ketujuh dan gembira beliau kembali semula untuk menjaga negara ini, jadi terima kasih kepada semua penyokong yang memastikan ini menjadi kenyataan, ini impian rakyat,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Dr Mahathir, anak jati Alor Setar mencipta sejarah lagi menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.- Bernama

 ??  ?? DR Mahathir beramah mesra dengan orang ramai sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
DR Mahathir beramah mesra dengan orang ramai sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
 ??  ?? DR Siti Hasmah disambut dengan orang ramai sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
DR Siti Hasmah disambut dengan orang ramai sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia