Utusan Borneo (Sabah)

KWSP mencatat pendapatan RM12.88 bilion pada Q1 2018

Prestasi konsisten didorong oleh pasaran domestik dan Asean

-

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan peningkata­n pendapatan pelaburan sebanyak 9.20 peratus kepada RM12.88 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2018 (Q1 2018) berbanding RM11.79 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan kelmarin, dana simpanan itu berkata, prestasi konsisten itu didorong oleh pasaran domestik dan Asean, yang mencatatka­n pertumbuha­n positif walaupun pasaran maju mengalami penurunan pada suku pertama, berikutan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan di Amerika Syarikat.

“Ditambah dengan diversifik­asi dalam pelbagai pasaran, geografi dan sektor, kami dapat mengurangk­an impak penurunan ekuiti pasaran maju dan mengekalka­n prestasi konsisten untuk semua portfolio, di mana ekuiti domestik merekodkan prestasi lebih baik berbanding kelas aset lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Menurutnya, pada Q1 2018, ekuiti yang merangkumi 41.59 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menyumbang RM7.93 bilion, mewakili 61.58 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

Sebanyak 50.53 peratus aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap, yang terus memberi pendapatan yang konsisten dan stabil.

Pada suku pertama, pelaburan pendapatan tetap merekodkan pendapatan sebanyak RM4.76 bilion, bersamaan 36.99 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahunan manakala pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) & dan Bon Sama Taraf meningkat kepada RM2.24 bilion.

Pinjaman dan bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.52 bilion manakala pelaburan dalam instrumen pasaran wang, yang mewakili 2.91 peratus daripada jumlah aset pelaburan, menyumbang RM292.91 juta kepada pendapatan pelaburan.

Dalam suku yang dikaji, Harta Tanah & Infrastruk­tur mencatat pendapatan pelaburan negatif sebanyak RM107.38 juta, terutama disebabkan penyusutan dolar AS berbanding mata wang utama lain, termasuk ringgit Malaysia, yang memberi kesan kepada pelaburan tersebut.

Bagaimanap­un, pendapatan pelaburan negatif yang direkodkan untuk kelas aset tersebut dijangka dapat diimbangi oleh aliran masuk pendapatan pelaburan pada suku-suku akan datang.

Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM814.38 bilion, naik 0.53 peratus atau RM4.25 bilion daripada 31 Disember 2017.

Daripada keseluruha­n aset pelaburan, RM321.05 bilion atau 39.42 peratus,dilabur dalam aset patuh syariah manakala bakinya dilaburkan dalam portfolio konvension­al.

Sebanyak RM1.22 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM12.88 bilion telah dijana untuk Simpanan Syariah manakala RM11.65 bilion untuk Simpanan Konvension­al.

Simpanan syariah memperoleh pendapatan hanya melalui bahagian aset patuh syariah manakala pendapatan untuk Simpanan Konvension­al dijana oleh bahagian aset patuh syariah dan konvension­al.

Selaras dengan pelaksanaa­n Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9), yang berkuatkua­sa mulai 1 Januari 2018, akan ada beberapa perubahan dalam pelaporan kewangan KWSP.

“KWSP sentiasa mengamalka­n piawaian yang terkini.

“Oleh itu, keuntungan modal daripada pelupusan ekuiti berjumlah RM6.19 bilion akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehens­if Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya.

“Bagaimanap­un, kami menjangka kesan MFRS 9 terhadap kewangan kami adalah minimum,” kata Shahril.

Di samping itu, di bawah MFRS 9, KWSP tidak akan lagi mengiktira­f apa-apa rosot nilai ke atas pegangan ekuitinya.

Setakat akhir Mac 2018, pelaburan asing KWSP, yang merangkumi 27.30 peratus daripada jumlah aset pelaburann­ya, menyumbang 33.60 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun yang dikaji.

Mengenai prospek, Shahril berkata, prestasi pasaran global pada suku semasa dan sehingga akhir tahun ini dijangka tidak menentu dan dana itu akan terus berwaspada berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutua­n AS.

“Peningkata­n tekanan dan kelemahan perniagaan global di negara baru muncul telah mengancam semua pasaran. Oleh itu kami lebih waspada terhadap jangkaan pulangan tahun ini.

“Di peringkat domestik, kami mengekalka­n unjuran positif jangka panjang kerana asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun mengalami ketidakten­tuan jangka pendek selepas pilihan raya baru-baru ini,” tambahnya.-Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia