Utusan Borneo (Sabah)

Berobok Syawal

- Karya AZRIDAH PS ABADI

ANGIN malam mengusapi tubuhnya. Bulan mengembang pun, seolah tidak mengerti apa yang sedang bergelodak di jiwanya. Seperti tidak peduli, apa yang tertanggun­g di hatinya. Mak Cik Siah, yang memakai Baju Kurung Kedah berbunga biru dan berkain batik kehitaman itu mundar-mandir ke hulu ke hilir di beranda rumah bahagian dapurnya.

Ingatannya menerjah kepada dua orang anaknya yang berada di Labuan iaitu Mokhtar dan Sudirman. Namun, entah mengapa ingatannya kini menjurus kepada Mokhtar. Apa khabar Mokhtar sekarang? Lama benar dia tidak melihat wajah anaknya itu. Pernah sekali Sudirman memberitah­unya bahawa, Mokhtar sudah mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu seorang lelaki dan dua orang perempuan. Masingmasi­ng berumur sepuluh, lima belas dan tujuh belas tahun.

‘Mengapa Mokhtar tidak pernah menghubung­iku? Mungkin Mokhtar sudah tidak mahu melihat aku lagi. Mungkin Mokhtar sudah benar-benar melupakan aku yang sudah tua ini,’ lirih hatinya.

Dari khabar berita yang disampaika­n oleh cucunya Ita iaitu anak Sudirman, Mokhtar sering sakit-sakit. Mokhtar juga dituduh ‘menyantet’ atau menggunaka­n ‘ubat guna-guna’ terhadap anak jirannya yang kini sedang terlantar sakit.

Semenjak itu hatinya gundah gulana. ‘Benarkah dakwaan itu? Mengapa Mokhtar sanggup melakukan perbuatan itu?’ Getus hati Mak Siah.

“Mak dengar, abangmu Mokhtar dituduh ‘menyantet’ anak jirannya? Betul?” ujar Mak Siah kepada Sudirman, ketika datang menziarahi­nya semalam.

“Biarlah dia mak. Dia sudah tua. Dia tahu berfikir. Untuk apa lagi mak ingat-ingatkan anak mak yang tidak tahu mengenang budi itu. Itulah balasan anak yang menderhaka terhadap orang tuanya,” balas Imran yang tidak memihak kepada abangnya.

“Jangan begitu Sudir. Apa pun, dia adalah abangmu, abang kandungmu. Kau tak kasihankan dia kah?” ujar Mak Siah lagi.

“Mengapa perlu kasihankan dia? Adakah dia kasihankan emak? Mak tak ingat apa yang dia lakukan kepada mak?” Sudirman mendengus.

Mak Siah mendongak ke langit. Wajahnya sayu. Matanya kembali berkaca-kaca bila mengingati pertengkar­an yang berlaku antara keluarga mereka. Masih jelas di matanya, apa yang dilakukan oleh Mokhtar. Semuanya berpunca akibat rasa tidak puas hati Mokhtar terhadap orang tuanya. Mak Siah dikatakan bersikap pilih kasih, antara dia dan adiknya Sudirman. Ketika itu, Sudirman baru saja tiga bulan berhijrah ke Labuan dan belum mempunyai pekerjaan. Akhirnya, Sudirman memutuskan hendak menjalanka­n perniagaan. Lalu, Sudirman meminjam wang pencen ayahnya ketika bekerja sebagai buruh kasar di salah sebuah syarikat pembalakan dahulu.

“Saya janji mak, ayah.

Bila perniagaan saya sudah berjaya, saya akan bayar balik,” pengakuan Sudirman kepada kedua orang tuanya.

Melihat perniagaan adiknya yang menampakka­n kemajuan dalam bidang perniagaan, Mokhtar pun amat berbesar hati untuk mengikuti jejak langkah adiknya Sudirman. Mokhtar turut menyuaraka­n hasrat hati untuk meminta pertolonga­n kepada orang tuanya. Namun, Mak Siah tidak dapat memenuhi permintaan­nya dengan alasan wang tersebut sudah habis diberikan kepada Sudirman.

Mokhtar merasa berang. Dia mengamuk, kerana menganggap Mak Siah bersikap berat sebelah. Mak Siah cuba menenangka­n keadaan dan memujuk Mokhtar agar tidak berburuk sangka. Mokhtar tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh emaknya. Dengan perasaan marah yang bukan alang kepalang, Mokhtar bertindak untuk keluar dari rumah.

“Mokhtar! Jangan tinggalkan mak nak! Jangan!” rayu Mak Siah sambil memegang kedua belah tangan anaknya itu.

“Ah! Jangan panggil aku anak lagi! Mak memang tidak adil!” Mokhtar menolak Mak Siah sehingga terjatuh.

Mak Siah tertiarap. Mokhtar sedikit pun tidak peduli emaknya yang rebah dan terbujur kejang di situ. Tidak peduli! Dengan kulit tangannya yang berkedut-kedut dan terketar-ketar kesakitan, dia mengheret-heret kakinya untuk memujuk Mokhtar. Merayu dan meraung agar Mokhtar tidak meninggalk­annya. Tapi, Mokhtar tetap dengan hati batunya.

Sejenak, lamunan Mak Siah terhenti. Perasaan sedih semakin membuak-buak di jantungnya. Pilu, mengenangk­an sikap anak yang disayangin­ya itu. Naluri keibuannya tetap membisikka­n bahawa tidak mungkin Mokhtar ‘menyantet’ anak jirannya itu. Tidak! Meski sekejam mana pun Mokhtar terhadap dirinya.

* * * *

Langit mendung, semendung hatinya. Suasana di perkaranga­n rumah Taman Melawati itu sepi. Sesepi hatinya yang mengiringi kejadian ngeri lebih kurang dua puluh tahun yang lalu. Seingatnya pada ketika itu, kepulan awan juga sudah tidak kelihatan indah dengan bahang kemarahan yang meluap-luap di jantungnya.

Fikirannya kusut masai. Lalu dia menyedut ‘sigup’ tembakau yang menjadi kesukaanny­a sejak dahulu. Meskipun telah dilarang oleh anak-anaknya agar tidak menghirup asap tembakau itu lagi, dia tetap dengan kedegilan. Baginya, apa lagi yang boleh menenangka­n fikirannya jika bukan sigup tembakau itu. Hendak dikatakan menjaga kesihatan, usianya pun sudah menjangkau 53 tahun. Kalau nak mati, mati juga katanya.

Mokhtar membuka pintu pagar rumahnya yang diperbuat daripada kayu jati itu. Sejurus, dia terbayang semula bagaimana dia dan keluargany­a yang seramai enam orang tinggal di rumah setinggan di Perkampung­an Bakau, Batu 3, Sandakan. Betapa bahagianya kehidupan mereka di waktu kecil, meskipun makan pagi kais pagi, makan petang kais petang, mereka tetap gembira. Namun, kebahagiaa­n itu bukan miliknya lagi semenjak dia sendiri memutuskan perhubunga­n dengan ahli keluargany­a dua puluh lima tahun yang lalu.

Mokhtar terkedu, keharuan lalu mematikan kenangan pahitnya itu, namun kenangan pahit itu terus bertandang di matanya. Dengan langkah yang longlai, dia terus berjalan ke arah kanan sisi jalan raya yang luas tetapi lengang dari kesibukan kereta. Lalu, dia teringat pada jalan atau lorong yang perlu mereka lalui semasa mencari sayur cangkuk manis untuk dibuat ‘berobok’ dahulu. Mereka terpaksa menyusuri jalan belukar yang sempit dan berliku-liku.

Manisnya ingatan, bila ibunya menyuapkan ‘berobok’ ke dalam mulutnya. Liurnya mula menitis bila menyebut ‘berobok’, Berobok adalah sejenis bubur, iaitu makanan tradisi bangsa bugis. Berobok adalah makanan kegemarann­ya. Makanan itulah yang membesarka­n mereka empat beradik. Setiap minggu, ibunya akan menyediaka­n bubur ‘berobok’ yang dikatakan amat berkhasiat untuk kesihatan. Bahan-bahan berobok ini terdiri daripada beras, jagung, sayur cangkuk manis atau daun kelor, lobak merah, isi ayam, garam dan serbuk perasa.

Mokhtar tersenyum mengingati kenangan manis itu. Kini, di sisi jalan yang sunyi dan bersama kudrat yang ada, dia meneruskan langkah untuk ke rumah Ismail. Apa pun alasannya, dia harus berjuang menegakkan kebenaran bahawa bukan dia yang ‘menyantet’ anak Ismail. Bukan dia!

Mokhtar sedar, selama ini memang berlaku perselisih­an antara dia dan Ismail. Ianya berpunca kerana Ismail telah menggunaka­n sedikit tanah kawasan rumahnya untuk dijadikan dapur. Tapi, itu tidak bermakna dia harus berdendam dan membalasny­a terhadap anak Ismail. Kini, jiran tetangga sibuk memperkata­kan tentang dirinya. Semua menuding jari kepada dirinya. Menurut bomoh yang mengubati anak Ismail, ada orang yang berdendam dengan Ismail. Orang itu adalah jiran yang paling dekat dengannya. Jadi, sangkaan Ismail ialah Mokhtar.

Hendak mengadu kepada siapa? Adiknya Sudirman? Dia juga sudah tidak sehaluan dengan adiknya Sudirman. Sudirman pula yang sudah tidak mahu mengambil tahu tentang dirinya. Ini kerana, ketika itu Sudirman yang lebih dahulu maju dalam perniagaan dan mempunyai kelebihan memiliki beberapa buah rumah sewa. Memandangk­an Mokhtar belum mempunyai tempat tinggal yang tetap, Sudirman menyuruh Mokhtar tinggal di salah satu rumah miliknya. Sudirman mahu Mokhtar membawa kedua orang tua mereka tinggal di situ. Dengan alasan, rumah setinggan yang diduduki oleh orang tuanya hendak dirobohkan oleh pihak berkuasa. Mokhtar enggan, dengan alasan Sudirman yang lebih layak membawa orang tua mereka tinggal bersamanya.

Akhirnya, Sudirman mengambil keputusan, menyerahka­n penjagaan kedua orang tuanya di Sandakan kepada adiknya Jamal yang kini tinggal di rumah pangsa PPRT, dan berjanji akan menanggung kos pembayaran rumah yang diduduki oleh kedua orang tuanya.

* * * *

Mak Siah menghela nafas sesaknya. Sesekali, dia menyerunye­ru nama Mokhtar. Disebalik mata yang sayu tubuh lesunya, hatinya menggeligi­s pilu. Saat-saat bahagia bersama anak tersayang terbayang di bebola mata. Sarat rindu tak tertanggun­g.

“Haji, mana Mokhtar? Kenapa tidak balik-balik lagi? Hari raya sudah dekat,” ujar Mak Siah yang lebih mesra memanggil suaminya Haji.

“Janganlah kau risaukan dia lagi. Kau tu bukannya sihat. Kalau dia ingatkan kau, dia akan pulang juga tu. Janganlah dibebankan fikiranmu,” balas suaminya yang juga kelihatan uzur.

“Saya rindukan dia,” jawab Mak Siah lemah. Wajahnya semakin pucat.

Keadaan sunyi seketika. Sesekali, Mak Siah terbatuk kecil. Sejenak, Mak Siah tersenyum. Dia terkenangk­enang ketika Mokhtar berusia sembilan tahun. Setiap hari, dia memimpin tangan Mokhtar untuk pergi ke sekolah. Sebelum pergi ke sekolah, Mak Siah akan menyuapkan ‘berobok’ kepada Mokhtar. Di bulan Ramadan pula, Mak Siah akan memasak ‘berobok’ kesukaan Mokhtar. Mokhtar menangis jika waktu bersungkai tidak dimasakkan ‘berobok’.

Malam takbir, Mokhtar tidak seperti adik beradiknya yang lain. Mokhtar akan membantu Mak Siah membungkus buras, buras yang diperbuat daripada beras dan beras pulut dicampur dengan santan dan sedikit garam. Buras dibungkus dengan menggunaka­n daun pisang. Sebelum itu, buras dibentukka­n memanjang lalu diurut-urut agar kelihatan kemas. Kemudian, buras akan diikat dengan menggunaka­n tali rapiah. Begitu pandai sekali Mokhtar membungkus buras. Ikatannya kencang dan padat!

Selepas itu, dia akan merebus buras menggunaka­n tin biskut kering atau minyak masak yang telah dibersihka­n, lalu memasaknya dengan menggunaka­n kayu api di atas tanah yang telah dicangkul di hadapan rumah mereka. Mukanya akan kemerahmer­ahan kerana bahang kayu api. Kemudian, Mokhtar akan mengacau ayam lengkuas di kuali. Sesudah itu, Mokhtar akan menjenguk tapai yang dibuat daripada beras pulut dan ragi. Tapai mesti dibuat tiga atau empat hari sebelum hari raya kerana ianya perlu diperam sehingga masak. Tapai juga suatu kemestian juadah mereka di pagi raya.

“Haji, tolong carikan saya sayur cangkuk manis, jagung, ayam, lobak merah dan daun kelor. Saya mahu buat ‘berobok’. Mana tahu, esok Mokhtar akan pulang. Tentu dia suka kan. Alangkah seronoknya kalau Mokhtar pulang. Mesti dia akan membungkus buras dan memasak ayam lengkuas,” kata Mak Siah dengan nada sendu.

Suaminya hanya mengelengg­elengkan kepala. Tak sanggup rasanya melihat keadaan Mak Siah yang menanggung beban rindu terhadap anaknya. Dengan perasaan yang sayu, dia menuruti permintaan isterinya.

‘Mokhtar, pulanglah nak. Ibumu menunggu,’ bisik hati suami Mak Siah.

* * * *

Mokhtar tersentak. Tibatiba, pinggan yang dipegangny­a terlepas. Mujurlah pinggan itu tidak pecah. Hatinya resah gelisah. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil kunci kereta lalu menuju ke pejabat adiknya Sudirman.

“Sudir, abang mahu ikut kau pulang ke Sandakan. Abang mengaku, abang bersalah kepada mak dan ayah,” ujar Mokhtar sebaik saja dia tiba di pejabat adiknya.

Sudirman terkejut dengan kehadiran abangnya. Dengan tenang dia berkata;

“Baiklah bang. Saya sudah melupakan perkara lalu. Air dicincang tak akan putus. Hidup kita ibarat menanam benih. Sekiranya benih yang kita tanam itu baik, maka baiklah yang kita dapat. Namun, seandainya sesuatu yang buruk kita berikan kepada orang, maka impak yang negatif turut berlaku kepada kita. Yakinlah, semua yang berlaku atas izin-Nya. Pulanglah menjenguk orang tua kita. Buangkan rasa ego abang tu. Ingatlah bang, kehidupan kita ini menuju ke alam akhirat. Berdamaila­h dengan takdir,” ujar adiknya Sudirman.

Mokhtar memeluk erat adiknya. Akhirnya, airmata lelakinya tumpas jua. Detik yang tak terjangka ini, dia ingin pulang. Pulang untuk meneguk kasih dan memohon keampunan kepada kedua orang tuanya. Simfoni rindunya bergema, menyesak dada.

Seperti mendongak langit yang bersih, dia segera membawa isteri dan anakanakny­a berkemas-kemas untuk menyambut Syawal di Sandakan. Wajah kedua orang tuanya kian menari-nari di ruang mata. Dengan pantas, dia membawa kereta troper berwarna coklat cair untuk menuju ke terminal feri lalu mengambil tiket. Mujurlah, feri menuju ke menumbuk masih belum berlepas.

Sambil memandang ke laut, Mokhtar menjeling ke arah anak-anaknya. Mungkin mereka pun tidak sabar untuk bersua dengan nenek mereka. Teringat dia, ketika kecil dahulu, tangis haru dan tawa gembira mewarnai suasana Syawal. Selepas menunaikan Solat Aidilfitri, dia dan adikberadi­knya segera mendapatka­n emak dan ayah mereka. Mereka akan bergilir-gilir memeluk dan mengucup lembut tangan dan pipi emak dan ayah mereka. Kemudian, ayahnya akan memberikan duit raya. Betapa gembiranya dia bila mendapat duit raya meski lima puluh sen sahaja. Setelah itu dia akan berlari-larian keriangan.

Akhirnya, feri pun berlabuh di jeti Pekan Menumbuk. Perjalanan dari Pekan Menumbuk ke bandar KotaKinaba­lu pula memakan masa hampir dua jam setengah. Seterusnya, mereka perlu menyambung perjalanan lagi ke Sandakan. Hatinya menggamit-gamit untuk segera sampai ke rumah orang tuanya. Mereka singgah sebentar untuk berbuka puasa di salah sebuah restoran yang terletak di Pekan Ranau. Selepas itu, Mokhtar menunaikan solat di Stesen minyak Petronas yang tidak jauh dari situ.

Hidungnya mengembang kuncup seperti terhidu bau setanggi di dalam surau tersebut. Hatinya dihimpit kebimbanga­n yang tiada taranya. Sejenak, fikirannya kembali terbang melayang dan kian galak berlegar-legar pantas mengingati kedua orang tuanya. Dia mula berasa ada air jernih menakung di kelopak matanya. Rasa tidak enak yang mencengkam tali perutnya, kini berbaur dengan kenangan indah bersama kedua orang tuanya. Rindunya merimbun.

Malam menyinsing. Akhirnya mereka tiba di perkaranga­n rumah pangsa PPRT tingkat empat, Taman Anggerik. Dari tingkat bawah, dia terhidu bau kemenyan. Ketegangan mengapung di dalam dada, nafasnya bagaikan tersekat. Dia menaiki anak tangga rumah pangsa tersebut. Kelihatan, beberapa orang lelaki di

beranda rumah pangsa itu sedang menyiapkan persediaan pengkebumi­an. Dengan perlahan, Mokhtar terus menggagahi langkahnya dengan sekuat hati dan tenaga yang ada, bagaikan membawa beban seberat batu.

Sejurus, kakak sulungnya Hayati menyambut kehadiran mereka. Suasana rumah pangsa yang sempit, dan agak gelap itu seakan tidak membenarka­n ruang cahaya menembusi ruang tamunya. Dia berpelukan dengan kakak dan adiknya. Di tengah-tengah ruang tamu, kelihatan sekujur tubuh yang kaku dibaluti kain putih. Ayahnya tertunduk sebak. Dia segera mendapatka­n ayahnya. Airmata menitis tak mampu membendung kesedihan. Tubuhnya menggigil kencang dan dengan tangan yang terketar-ketar dan jiwa retak seribu, Mokhtar membuka kain putih yang menutupi tubuh itu. Mendadak, hatinya menggeligi­s pilu. Jantungnya pecah. Harapan untuk memohon keampunan kepada emaknya tidak kesampaian.

“Ampunkan Mokhtar mak! Ampunkan Mokhtar………!” Mokhtar meratap jasad emaknya.

“Semalaman emakmu menunggu kepulangan­mu nak. Dia menyeru-nyeru namamu. Dia sempat menyiapkan ‘berobok’ untukmu. Katanya, lama benar tidak berbuka puasa denganmu. Tentu kau suka. Dia juga membayangk­an kau akan membungkus buras dan mengacau ayam lengkuas,”

sahut ayahnya dengan kesedihan.

Tangisan Mokhtar kian bergema, segera menggigit bibir, mengancing gigi, menegang rahang berulangka­li. Tak sanggup rasanya dia mendengar kata-kata ayahnya. Betapa, keangkuhan membunuh segala impian. Dua puluh tahun dia menjauhkan diri daripada kedua orang tuanya. Sedikit pun dia tidak peduli, keadaan orang tuanya. Entah makan, entah tidak. Mengapa terlalu murah sekali dia membayar harga pengorbana­n dan setitis kasih emaknya.

Kelihatan, Sudirman juga meratap sedih. Saat terkahir dia menemui emaknya ketika cuti sekolah tahun lepas. Dalam pertemuan itu, emaknya langsung tidak menunjukka­n sikap yang aneh. Sudirman memeluk abangnya Mokhtar. Rawan hati tak tertanggun­g.

Daun-daun kenangan pun gugur ke dahan ranting. Rela atau pun tidak, dia redha menyaksika­n gumpalan tanah menembusi tubuh emaknya. Yang tertinggal, hanyalah jalurjalur pelangi bersama arwah emaknya. Sendu mengiringi perpisahan. Mengertila­h dia kini, betapa Tuhan maha menyayangi, supaya dia lebih menghargai apa yang dia miliki.

Suara takbir pun bergema syahdu.

Allahhu Akhbar…Allahhu Akhbar….Allahhu Akhbar… Lailla haillahlah… Allahhu Akhbar..Allahhu Akhbar walillah ilham.

 ??  ?? Gambar Sekadar Hiasan
Gambar Sekadar Hiasan
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia