Utusan Borneo (Sabah)

Empat sekeluarga maut, dua parah kereta terbabas di LPT1

-

MARAN: Keceriaan enam sekeluarga pulang membeli persiapan raya di Kuala Lumpur bertukar tragedi selepas empat daripada mereka maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan di Km161, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), berhampira­n Hentian Rehat dan Rawar (R&R) Maran, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata empat yang maut dikenal pasti sebagai Azian Abdullah, 50, dan tiga anaknya Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Adriana, 15, dan Mohamad Danish Najmi, 10.

Beliau berkata dua lagi anak Azian iaitu Mohd Shahrul Ikhram Mazlan, 20, dan Fatin Nur Athirah, 19, cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu Mohd Shahrul telah terbabas dan melanggar penghadang besi jalan di kiri jalan sehingga kereta ditembusi oleh besi penghadang jalan berkenaan.

“Ia menyebabka­n mangsa empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini.

Norzambri berkata kemalangan itu berlaku semasa keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheneh, Kemaman, Terengganu.

Menurutnya jalan di kawasan kejadian adalah lurus dan menuruni bukit dan keadaan cuaca ketika itu adalah baik.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.49 pagi dan sebaik tiba di tempat kejadian mendapati kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia