Utusan Borneo (Sabah)

68 pelajar perintis daftar Program Asasi STEM UMT

-

KUALA NERUS: Seramai 68 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 mendaftar sebagai perintis program Asasi Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) di Universiti Malaysia Terengganu, pada Ahad.

Pengarah Pusat Asasi STEM, Dr Laili Che Rose berkata program Asasi STEM yang dibangunka­n sejak 2016 itu adalah yang pertama seumpamany­a di Malaysia yang menggabung­kan empat bidang fokus dalam satu kursus dan menggunapa­kai modul yang dibangunka­n oleh universiti itu sendiri.

“Asasi STEM sangat unik kerana ia adalah program berfokus dengan asas bidang sains, teknologi, kejurutera­an dan matematik digabungka­n dalam satu kursus melibatkan tempoh pembelajar­an selama tiga semester (setahun).

“Ini berbeza dengan program asasi yang ditawarkan di tempat lain. Sebagai contoh pelajar yang mengikuti program sains hayat semestinya akan pergi kepada bidang biologi manakala fizik pula akan mengikuti aliran kejurutera­an.

“Tetapi dengan mengikuti proram asasi STEM, mereka masih berpeluang memilih bidang yang diminati sama ada sains, matematik, jurutera atau Teknologi Maklumat (IT) selepas tamat kursus,” katanya kepada pemberita selepas program pendaftara­n pelajar Asasi STEM dan Diploma Perikanan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, program ini turut membuka peluang kepada pelajar yang mengikuti aliran sastera ketika di sekolah menengah untuk beralih kepada bidang sains.

Langkah itu dianggap sebagai bertepatan dengan saranan Kementeria­n Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakk­an universiti membuka peluang dan laluan kepada lebih ramai pelajar sastera melanjutka­n pelajaran dalam bidang yang sesuai.

“Setakat ini kami menerima tujuh pelajar daripada aliran sastera yang mendapat keputusan A dalam mata pelajaran Sains dan sekurangku­rangnya C+ untuk Matematik Tambahan. Kita beri ruang dan akan pantau perkembang­an mereka.

“Jika percubaan ini berjaya, kita akan membuka peluang kepada lebih ramai pelajar sastera pada masa akan datang mengikuti program asasi STEM di sini. Ini kerana pada tahun ini sahaja seramai 12,000 pelajar aliran sastera tidak mendapat peluang melanjutka­n pelajaran ke IPT dan mereka tidak tahu hala tuju seterusnya,” kata beliau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia