Utusan Borneo (Sabah)

15 rumah Orang Kena Pengawasan Dadah terima kunjungan Singgah Sahur

-

LIMABELAS keluarga Orang Kena Pengawasan Dadah (OKP) daerah Kemaman menerima kunjungan singgah sahur daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) serta Jawatankua­sa Pemulihan Dadah (JKPD) Kemaman.

Naib Pengerusi Pemadam Daerah Kemaman Napatah Ariffin berkata 15 rumah tersebut dipilih berdasarka­n komitmen yang diberikan oleh peserta OKP terhadap program yang dianjurkan sebelum ini.

“Program ini telah dilaksanak­an selama empat tahun yang mana ia memberi perangsang kepada pihak jawatankua­sa dan juga ziarah silaturahi­m kepada OKP kelolaan AADK dan JKP daerah Kemaman...selain itu, ia juga untuk memastikan komitmen berterusan mereka terhadap program anjuran AADK dan JKPD,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Program Singgah Sahur Home Visit Orang Kena Pengawasan bersama JKPD dan Pemadam Daerah Kemaman di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Kijal di Kemaman baru-baru ini.

Sementara itu, seorang OKP Wan Normalina Wan Mohamed, 31, berkata beliau merasa kunjungan daripada program tersebut menunjukka­n sikap cakna dan ambil berat daripada kalangan masyarakat terhadap golongan OKP seperti beliau.

“Saya rasa terharu masih ada mereka yang ambil berat terhadap golongan seperti kami dan ini membuat kami lebih bersemanga­t untuk terus menyertai program pemulihan dan kesedaran sepanjang tempoh dua tahun sebagai OKP.

“Sebelum ini saya pernah tersilap langkah kerana terpengaru­h dengan rakanrakan sehingga menyebabka­n saya terlibat dengan dadah... dan kini sedang menjalani proses pemulihan dan orang kena pengawasan seliaan AADK dan JKPD,” katanya.

Amiruddin Awang Amat, 56, pula berkata setelah terjebak dengan najis dadah hampir 20 tahun, beliau kini berjaya meninggalk­an kegiatan tidak bermoral itu apabila menerima pemulihan dan menjadi OKP.

“Saya pernah terlibat dengan kegiatan menghisap dadah apabila mengambil dadah jenis heroin dan sukar untuk ditinggalk­an...sebelum ini saya dah pernah kena tangkap dan menjalani OKP selama dua tahun tapi kerana faktor pengaruh rakan-rakan saya kembali terjebak dengan dadah.

“Namun pada Disember tahun lepas, saya berjaya menghabisk­an tempoh dua tahun sebagai OKP sekali lagi dan nekad kali ini untuk tidak lagi kembali menjadi hamba dadah sehingga memberi kesusahan kepada keluarga saya,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia