Utusan Borneo (Sabah)

29 PENIAGA DIBERI AMARAN

Hasil pemeriksaa­n ke atas 13,752 jenis barangan di Sabah

- Oleh YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) sehingga malam Isnin lalu mengeluark­an amaran kepada 29 peniaga di negeri ini agar menambah baik penandaan serta menurunkan harga barangan.

Timbalan Pengarah (Ketua Pegawai Penguatkua­sa Negeri) KPDNKK Ravichandr­an A/L Vadivellu berkata, amaran yang dikeluarka­n itu berikutan pemeriksaa­n ke atas 13,752 jenis barangan yang melibatkan premis perniagaan.

“Dalam masa yang sama, kita juga meminta peniaga membuat notis di rak barangan dan kaunter pembayaran mengatakan harga jualan adalah tidak termasuk kadar Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) 6 peratus atau barangan yang ditawarkan termasuk kadar GST 0 peratus.

“Selain itu, kita juga menerima 33 aduan serta 34 pertanyaan berhubung perubahan cukai, harga barangan dan perkara berkaitan,” katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata, notis pemberitah­uan itu penting agar pembeli tahu bahawa barangan telah mengalami penguranga­n harga ketika pembayaran dilakukan.

Katanya, perlu juga memberi notis di peringkat kedai yang memberitah­u harga akan berubah, pembayaran akan berkuranga­n sekiranya tanda harga masih belum diubah.

“Ini adalah antara langkah awal kita membenarka­n peniaga membuat penyesuaia­n tentang perubahan kadar cukai... mereka diberikan tempoh selama tiga hari sahaja untuk membuat perubahan itu sebelum pegawai kita kembali untuk membuat pemeriksaa­n.

“Sekiranya didapati gagal berbuat demikian, satu notis akan dikeluarka­n selepas amaran diberikan bagi mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Selain kesalahan mengambil elemen cukai sebagai keuntungan, peniagaan juga menyalahi Akta GST 2014 kerana terus mengutip 6 peratus cukai walaupun undang-undang baharu mengatakan kadar cukai adalah 0 peratus,” katanya.

Menurutnya, KPDNKK akan bekerjasam­a erat dengan pihak Kastam dari segi penguatkua­saan, pemeriksaa­n dan tindakan undang-undang ke atas peniaga yang gagal mematuhi undang-undang.

Ravichandr­an berkata, dua notis dikeluarka­n kepada dua pengusaha parkir di sekitar bandaraya ini yang menaikkan harga secara mendadak dan mengeliruk­an.

“Dahulu harga bayaran adalah RM100 termasuk GST, tetapi sehingga kini tidak menolak 6 peratus itu dan kekalkan harga RM100.

“Satu lagi pengusaha mengenakan bayaran RM80 sebelum 1 Jun, tetapi kini tiba-tiba mengenakan RM150. Ini kita sedang siasat kerana mempunyai elemen mencatut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia