Utusan Borneo (Sabah)

Dr Sim komited terus berkhidmat kepada rakyat

-

KUCHING: Datuk Dr Sim Kui Hian komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat sehingga tamat tempoh penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kawah tiga tahun lagi.

Menurut Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, rakyat telah memilih beliau sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

Justeru katanya, menjadi tanggungja­wab beliau untuk berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat sehingga tempoh penggal lima tahun tamat dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Anda jangan risau, saya komited untuk menamatkan penggal saya sebab rakyat telah memilih saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu (SUPP) di sini pada Isnin.

Terdahulu Dr Sim yang juga presiden SUPP mengetuai upacara menaikkan bendera parti diikuti pemotongan kek sempena ulang tahun ke-59 parti tersebut.

Dalam ucapannya, Dr Sim dalam nada bergurau menyatakan bahawa beliau ditawarkan oleh rakan dari Singapura untuk kembali dalam bidang perubatan sebagai ahli kardiologi.

Tawaran tersebut menurut Dr Sim adalah susulan daripada pembentuka­n kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menumbangk­an Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ditanya sama ada beliau akan mempertimb­angkan tawaran tersebut, Dr Sim bagaimanap­un berkata beliau akan terus berkhidmat dalam Kerajaan Sarawak.

“Sebenarnya mereka (Singapura) keliru bahawa Sarawak masih lagi ditadbir oleh BN dan yang bertukar kerajaan hanyalah di peringkat persekutua­n,” katanya.

Ditanya mengenai timbalanny­a Datuk Seri Richard Riot Jaem yang tidak hadir pada upacara itu semalam, Dr Sim berkata beliau (Riot) tidak hadir kerana sedang bercuti sempena Hari Gawai.

“Saya baharu berjumpa beliau (Riot) pada rumah terbuka Gawai beliau 1 Jun lepas bersama ahli-ahli parti yang lain,” katanya sekali gus menjawab sebarang spekulasi mengenai ketidakhad­iran Riot pada upacara itu pada Isnin.

Riot sebelum ini turut tidak hadir pada mesyuarat jawatankua­sa kerja pusat parti kerana berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat BN.

Riot merupakan calon tunggal SUPP yang menang pada PRU14 lepas iaitu di kerusi Parlimen Serian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia