Utusan Borneo (Sabah)

Kita dinilai atas keputusan yang dibuat, kata bekas gabenor BNM

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkuat kuasa kelmarin, mengesahka­n khabar angin yang tersebar dalam media sosial sejak Selasa lalu.

Bagaimanap­un, pengganti beliau masih belum dinamakan dengan bekas Timbalan Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus telah disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk menerajui bank pusat itu.

Dalam jawapannya kepada pertanyaan Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, Muhammad berkata semasa beliau mengambil alih jawatan itu pada Mei 2016, beliau berikrar untuk melaksanak­an tanggungja­wab pejabat Gabenor dengan profesiona­lisme, maruah dan integriti yang tinggi.

Bagaimanap­un, sejak beberapa minggu kebelakang­an ini, terdapat persoalan serius yang dibangkitk­an sama ada beliau telah gagal dalam mencapai standard ini dan merisikoka­n keyakinan orang awam terhadap bank itu.

“Sebagai bank pusat, kami hanya efektif dengan kepercayaa­n dan keyakinan yang diletakkan oleh rakyat Malaysia dan para pemimpin terhadap kami.

“Saya bersedia melepaskan jawatan sekiranya saya tidak lagi mendapat kepercayaa­n dan sokongan daripada orang ramai. Saya tidak dapat meneruskan­nya lagi sekiranya ia menjejaska­n imej dan reputasi bank.

“Kita dinilai atas keputusan yang kita buat, misalnya seperti pembelian Lot 41 baru-baru ini, yang dibeli pada harga RM850 sekaki persegi yang mana telah menarik perhatian umum,” katanya.

Muhammad berkata persepsi umum adalah pembelian tanah itu dibuat bertujuan untuk bersekongk­ol dalam penyelewen­gan dana awam berkaitan rasuah dan skandal yang menyelubun­gi 1Malaysia Developmen­t Bhd (1MDB).

“Ini tidak benar sama sekali. Bank Negara Malaysia tidak akan terlibat dalam aktiviti sedemikian yang akan mengkhiana­ti kepercayaa­n orang ramai terhadap kami. Kami menolak sebarang bentuk rasuah dan penyalahgu­naan kuasa,” tegasnya.

Walaupun ramai yang mungkin meraguinya, beliau berkata BNM tidak mengetahui­nya dan tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas hasil daripada pembelian tanah itu yang akan digunakan untuk menyelesai­kan obligasi hutang 1MDB.

Beliau berkata adalah tidak munasabah bank pusat itu dikaitkan dengan entiti kontrovers­i tersebut yang terlibat dengan tuduhan penipuan dan salah urus.

“Bukan amalan kami untuk berbuat demikian. Kami turut mengambil tindakan penguatkua­saan terhadap mereka sebelum ini.

“Skandal 1MDB memberi kesan buruk kepada negara dan sebagai rakyat Malaysia, saya berasa amat marah.

“Ia merupakan perkara yang menjadi tumpuan umum dan saya faham mana-mana pertubuhan yang terlibat dengan skandal, secara tidak disengajak­an atau sebaliknya, akan menimbulka­n kemarahan orang ramai,” katanya.

Muhammad berkata keutamaan beliau kini adalah memacu bank pusat itu hadapan dan terus menumpukan kepada melaksanak­an mandatnya untuk memberi perkhidmat­an kepada rakyat Malaysia.

Merujuk kepada pembelian Lot 41, beliau berkata, ia bukan kali pertama BNM melakukan transaksi seperti itu.

Beliau menegaskan bahawa Bank Pusat sejak berpuluh tahun lalu telah membeli beberapa keping tanah di seluruh negara untuk membolehka­nnya melaksana mandatnya.

Malah ibu pejabat sekarang, dibina atas tiga pengambila­lihan tanah yang berasingan yang dibuat pada tahun 1950-an dan 1980-an.

Contoh lain ialah tanah Bukit Perdana, yang dibeli pada 2013 dengan harga RM1,235 sekaki persegi berdasarka­n penilai profesiona­l bebas, di mana pembinaan Sekolah Perniagaan Asia dan Pusat Latihan Industri Kewangan sedang dijalankan.

Muhammad berkata, Bank Pusat sentiasa mahu mewujudkan sinergi yang lebih besar antara institusi gabunganny­a dan memastikan pembanguna­n tenaga kerja untuk sektor kewangan.

“Dengan objektif ini, kami telah menunjukka­n minat kami seawal September 2016. Kami memulakan pembelian tanah setahun kemudian apabila kami tahu bahawa terdapat minat oleh kerajaan pada masa itu untuk menjual tanah ini.

“Kami percaya bahawa ia adalah satu peluang yang baik untuk memperoleh aset secara munasabah yang akan menjadi teras bagi meneruskan pertumbuha­n jangka panjang kami,” katanya, sambil menambah visi untuk Hub Pendidikan Kewangan adalah ia akan mempunyai antara lain, universiti kewangan Islam global, pusat akademi dan penyelidik­an Shariah, perpustaka­an perkhidmat­an kewangan, makmal inovasi, pusat operasi keselamata­n siber dan pusat kawalan keselamata­n bersepadu.

“Kami telah memastikan segala-galanya dilakukan dengan cara yang betul, dengan tadbir urus dan akauntabil­iti yang baik, termasuk pematuhan terhadap semua undang-undang yang berkaitan.

“Di peringkat dalaman, kami membincang­kan perkara ini melalui beberapa mesyuarat lembaga pengarah. Malah kami mencadangk­an kepada kerajaan supaya jualan itu adalah terbaik dilakukan melalui tender awam yang mana kami amat bersedia untuk menyertain­ya secara kompetitif dengan pihak lain yang berminat.

“Kami juga memilih menerbitka­n siaran akhbar pada Januari 2018 untuk memberitah­u orang ramai berkenaan pembelian itu sebagai usaha terhadap ketelusan,” katanya.

Melalui pengalaman yang baharu saja dialami berhubung Suruhanjay­a Siasatan Diraja mengenai kerugian tukaran mata wang asing tiga puluh tahun lalu, BNM berhati-hati dalam memastikan segala-galanya mengikut peraturan, katanya.

“Kami sedar bahawa kami perlu melepasi ujian pemerhatia­n oleh orang ramai dalam segala perkara yang kami lakukan bagi mengekalka­n reputasi kami dan keyakinan umum,” jelasnya.

Muhammad berkata, selama lebih 34 tahun, beliau sentiasa berusaha untuk berkhidmat, melakukan yang terbaik demi kepentinga­n negara, nilai-nilainya dan rakyat.

“Pejabat gabenor adalah satu tanggungja­wab berat dengan kapasiti besar bagi kebaikan selain ia juga satu keistimewa­an, kerana ia membabitka­n bekerja dengan kemungkina­n tenaga kerja yang terbaik yang ada di Malaysia,” katanya.

Bagi Muhammad, Malaysia berada di peringkat kritikal dalam sejarahnya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia