Utusan Borneo (Sabah)

Polis kenal pasti 23 lokasi panas kemalangan di Pahang

-

KUANTAN: Polis Pahang mengenal pasti 23 lokasi panas kemalangan di negeri ini yang akan diberikan tumpuan khusus pada Op Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik negeri Supt Kamarulzam­an Jusoh berkata antara lokasi itu ialah Jalan Pintasan Kuantan, laluan Pekan-Rompin, Muadzam Shah-Segamat, BentongRau­b, Raub-Kuala Lipis, Kuala Lipis-Merapoh.

“Arahan dikeluarka­n kepada semua ketua polis trafik daerah untuk membuat rondaan lebih kerap di kawasan tersebut bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan.

“Seramai 46 pegawai dan 256 anggota polis trafik bertugas sepanjang pelaksanaa­n Op Selamat bermula Jumaat lalu (8 Jun) hingga 22 Jun depan yang dibantu kakitangan Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ),” katanya.

Kamarulzam­an berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Kuantan Sentral di sini malam Sabtu yang turut melibatkan JPJ dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Selain itu, Kamarulzam­an memaklumka­n polis juga melaksanak­an Op Lancar di laluan yang dijangka mengalami kesesakan dengan tumpuan di Bentong, Raub serta Kuala Lipis ekoran pertambaha­n kenderaan ke Kelantan.

“Op Lancar diadakan pada 13 dan 14, 17 serta 23 dan 24 Jun kerana pengguna jalan raya dijangka bertambah pada tarikh itu, khususnya dua hari sebelum hari raya ekoran pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus manakala 23 dan 24 Jun merupakan minggu terakhir cuti sekolah,” katanya.

Kamarulzam­an menambah sebanyak tiga pasukan tindakan kecemasan diwujudkan di Bentong, Temerloh dan Gambang bagi membolehka­n bantuan segera diberikan jika berlaku kemalangan atau kesesakan.

Beliau juga berharap semua pengguna jalan raya akan mematuhi peraturan dan merancang perjalanan mengikut jadual cadangan perjalanan oleh syarikat konsesi lebuh raya bagi mengurangk­an kesesakan.

“Kita harap pengguna juga akan mematuhi had laju yang ditetapkan, tidak memotong garisan atau memandu di lorong kecemasan selain tidak memperlaha­nkan kenderaan di kawasan kemalangan kerana ia hanya menambah kesesakan,” katanya.

Mengulas mengenai operasi itu, Kamarulzam­an berkata pemeriksaa­n melibatkan 38 buah bas dan daripada jumlah itu, JPJ mengeluark­an sembilan notis saman atas pelbagai kesalahan.

Kamarulzam­an menambah sebuah bas tidak dibenarkan membawa penumpang kerana bunga tayar kenderaan haus manakala semua 33 pemandu bas yang menjalani ujian air kencing disahkan bebas daripada pengaruh dadah. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia